JPN, PPD beri sokongan kepada agensi urus mangsa banjir - Radzi Jidin

Firdaus Azil
Disember 19, 2021 11:04 MYT
Radzi meninjau keadaan di SMK Telok Panglima Garang, Telok Panglima Garang, yang dijadikan salah satu pusat pemindahan sementara mangsa banjir, awal pagi ini. - Foto Facebook Dr Radzi Jidin
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memberi sokongan kepada agensi berkaitan dalam usaha menempatkan mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bencana banjir yang melanda negara ketika ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan banyak sekolah telah digunakan sebagai PPS.
"Saya diberi taklimat oleh beberapa pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan situasi terkini di pusat ini.
“Alhamdulillah, semua urusan permindahan berjalan lancar. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses membantu mangsa-mangsa banjir ini, termasuk pihak sekolah,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu pengkongsian video, ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang, Selangor, awal pagi ini.
Dalam pada itu, Radzi berkata, beliau juga sedia maklum dengan sekolah-sekolah yang turut terjejas teruk dilanda banjir.
"Kita juga ada sekolah yang terkesan kerana banjir, ada sekolah dinaiki air.
"Kita maklumkan pada JPN dan PPD supaya laporan segera dibuat tentang sekolah yang terkesan dengan banjir ini untuk membolehkan kementerian buat pemantauan.
“Selain itu, tindakan segera dapat diambil bagi membolehkan apabila sampainya sesi persekolahan, ia dapat dibuka semula dan dapat beroperasi dengan teratur,” katanya lagi.
Radzi berkata, kementeriannya akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada agensi berkaitan bagi memastikan sumber yang ada dapat dimaksimakan sebaiknya dalam melalui tempoh sukar ini.
#Radzi Jidin #banjir #sekolah #Pusat Pemindahan Sementara
;