JPN Perlis buat laporan polis tular murid positif COVID-19

Bernama
April 20, 2021 09:46 MYT
Penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri Perlis. - Gambar fail
KANGAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis hari ini membuat laporan polis berhubung tular di media sosial mendakwa sembilan murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka disahkan positif COVID-19.
Pengarahnya, Naharudeen Othman berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kira-kira 10 pagi tadi.
"Apa yang ditularkan di media sosial semalam adalah tidak benar, hanya seorang sahaja pelajar yang disahkan positif COVID-19 dan lain-lain murid yang menjadi kontak rapat disahkan negatif dan sedang dalam proses kuarantin," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri.
"Jumlah kehadiran murid di SMK Guar Nangka dan sekolah di sekitarnya merosot kepada 35 peratus akibat kebimbangan ibu bapa terhadap tular tersebut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew ketika diihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis itu.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan boleh mengganggu ketenteraman awam kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana menyebarkan berita palsu.
-- BERNAMA
#COVID-19 #polis #JPN Perlis #murid sekolah #Perlis #positif COVID-19 #SK Guar Nangka #laporan polis #Tular #viral