JPN perhebat Program Mekar, turun padang setiap bulan
Bernama
Ogos 5, 2023 04:00 MYT
Ogos 5, 2023 04:00 MYT
JASIN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil langkah berterusan dengan memperhebat Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di seluruh negara menerusi pelaksanaan 80 hingga 130 program turun padang di bawah inisiatif itu pada setiap bulan.
Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman berkata, usaha itu bagi memastikan golongan sasaran terutamanya individu di kawasan pedalaman dan mereka yang tidak berkeupayaan seperti sakit terlantar, melakukan urusan mendafar atau memperbaharui kad pengenalan, sijil kelahiran dan kematian.
"Mekar ialah program turun padang JPN untuk permohonan dokumen berkaitan kepada golongan yang layak tetapi sukar untuk hadir ke pejabat JPN dan ia merupakan pendekatan proaktif bagi memastikan setiap penduduk di negara ini yang berkelayakan memohon dan mendapatkan pengenalan diri yang sah.
"Program ini juga turut memberi tumpuan terhadap golongan Orang Asli dengan lebih 50 program telah dilaksanakan khususnya di Kelantan, Pahang dan Perak dan pihak kita melihat kesedaran mereka tentang kepentingan pendaftaran kad pengenalan diri juga semakin meningkat," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Terdahulu, beliau hadir pada program Mekar bersama Komuniti Orang Asli Kampung Gapam Baru yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan dan hadir sama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka Shahrani Idderis.
Mengulas lanjut, Zamri berkata untuk rekod sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 50 gantian MyKad bagi masyarakat Orang Asli melalui Program Mekar JPN Melaka telah diterima dan diserahkan, manakala 11 permohonan melibatkan urusan kelahiran.
Beliau berkata penyerahan Program Mekar di Perkampungan Orang Asli Gapam Baru itu melibatkan 10 penerima sijil kelahiran, 10 penerima MyKad gantian baharu dan seorang penerima istimewa MyKad gantian berusia 75 tahun yang juga menjadi simbolik kepada sambutan Jubli Intan 75 tahun JPN yang akan disambut Oktober ini.
-- BERNAMA