JPN, NGO perlu segera daftar kanak-kanak belum daftar - Ahmad Zahid

Bernama
Mac 15, 2018 20:28 MYT
Zahid berucap pada Program Turun Padang di Dewan Milenium hari ini. - BERNAMA
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk mempercepatkan proses pendaftaran anak-anak yang belum didaftarkan untuk dokumen pengenalan diri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata anak-anak ini tidak seharusnya menjadi mangsa atas tindakan ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak-anak mereka atas masalah yang dihadapi seperti berkahwin di luar negara dan tidak didaftarkan di negara ini.
"Perkahwinan itu sah tetapi didaftarkan di luar negara dan pendaftaran itu tidak disahkan semula untuk didaftarkan dalam negara kerana ada kekhuatiran perkahwinan ini dihidu oleh orang yang tidak mengizinkan perkahwinan itu. Kemudian, anak-anak jadi mangsa.
"Jangan salahkan JPN. Anak-anak ini bersih, yang mencorakkan warnanya ialah ibu bapanya. JPN akan melakukan tindakan yang adil untuk anak-anak yang dimangsakan ini supaya atas nama kemanusiaan mereka layak untuk dapat pendidikan di sekolah, dapatkan dokumen (pengenalan diri) yang sah," katanya berucap pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau telah memberikan kuasa kepada pengarah JPN negeri untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha mempercepatkan proses pendaftaran anak-anak itu.
Beliau berkata mengikut rekod terdapat kira-kira 2,417 kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Ahmad Zahid berkata transformasi yang dilakukan oleh JPN dalam pengeluaran kad pengenalan dalam masa yang singkat adalah yang terbaik dan mendapat pengiktirafan dunia.
Beliau berkata pelbagai transformasi dan penambahbaikan perkhidmatan dilakukan setiap tahun bagi menjamin aspek dan ciri-ciri keselamatan dan maklumat peribadi.
"Elemen menaik taraf ini dilakukan setiap tahun atau dalam tempoh tertentu. Ia bagi mengelakkan peniruan atau penipuan kad pengenalan. Kita tidak berkompromi dari segi mutu dan elemen keselamatan kad pengenalan berkenaan.
"Tahniah kepada JPN bahawa kalau dulunya permohonan kad pengenalan terpaksa mengambil tempoh berbulan, kemudian dipendekkan kepada sebulan, dipendekkan lagi kepada lima hari. Daripada 231 pejabat JPN di seluruh negara, 56 pejabat JPN mempunyai mesin cetak kad pengenalannya sendiri dan keberhasilannya kad pengenalan dapat disiapkan dalam tempoh 45 minit," katanya.
Pada majlis itu Ahmad Zahid turut melancarkan Mobile Ehsan Sub Hub yang boleh menyiapkan kad pengenalan dalam tempoh 45 minit dan menyerahkan MyKid, MyKad dan sijil kelahiran kepada 50 individu.
#Jabatan Pendaftaran Negara #JPN #pendaftaran anak #Zahid Hamidi
;