JPN nafi calon ketua cabang PKR Kimanis ada dua MyKad
Bernama
Oktober 31, 2018 12:39 MYT
Oktober 31, 2018 12:39 MYT
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menafikan dakwaan bahawa calon ketua cabang PKR Kimanis, Sabah memiliki dua MyKad.
JPN dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan semakan jabatan itu, calon yang dimaksudkan hanya pernah dikeluarkan dengan satu kad pengenalan.
JPN menegaskan bahawa setiap individu hanya akan diberikan satu nombor kad pengenalan dua belas digit yang unik yang dijana oleh sistem menggunakan formula tertentu.
Mana-mana individu yang mendapatkan lebih daripada satu kad pengenalan tanpa kuasa atau sebab yang munasabah adalah satu kesalahan berdasarkan Subperaturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, katanya.
"Sehingga kini, Jabatan ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat yang mengesahkan mana-mana individu mempunyai dua MyKad," katanya.
JPN memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang individu lain memiliki dua kad pengenalan untuk segera tampil membuat laporan di mana-mana pejabat JPN yang berdekatan.
Pada Isnin lepas, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun mendakwa seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Kimanis memiliki dua MyKad.
Menurutnya perkara itu didedahkan selepas calon terbabit ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan rasuah minggu lepas.