JPN Kelantan terus pujuk ibu bapa Orang Asli hantar anak ke SK Tohoi

Bernama
Mac 12, 2016 12:10 MYT
Ogos tahun lepas, tujuh murid SK Tohoi bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas di sungai tanpa kebenaran. - Gambar fail
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan akan meneruskan usaha memujuk ibu bapa 66 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang tinggal di Kampung Penad dan Simpor di sini, supaya menghantar anak mereka ke sekolah itu.
Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata kini hanya murid dari dua kampung itu yang belum datang ke sekolah sejak sesi persekolahan 2016 bermula Januari lepas kerana ibu bapa terbabit bimbang keselamatan anak-anak mereka.
"Kita sudah selesai semua tuntutan ibu bapa supaya ditingkatkan keselamatan sekolah itu dengan perbelanjaan lebih RM500,000 termasuk membina pagar baharu dan sekarang tidak ada masalah lagi mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tohoi di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan (ADUN) Negeri Galas, Ab Aziz Yusof serta Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt. Saiful Bahri Abdullah.
Ab Aziz berkata jumlah murid yang hadir ke sekolah yang turut dilengkapi asrama itu setakat ini ialah 121 murid daripada 187 murid berdaftar.
Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan program turun padang ke perkampungan Orang Asli terbabit untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya pendidikan untuk anak-anak masyarakat tersebut.
Selain itu, beliau turut berharap tragedi yang menimpa tujuh murid SK Tohoi pada tahun lepas itu tidak menjadi penghalang untuk ibu bapa Orang Asli memberikan akses pendidikan kepada anak-anak mereka, katanya.
Ogos tahun lepas, tujuh murid SK Tohoi bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.
Hampir 50 hari hilang, Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai dalam hutan di situ.
Selain Miksudiar dan Norieen, lima lagi kanak-kanak yang hilang ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang kesemuanya dari Kampung Gawin dan Kampung Penad.
Lebih memilukan, empat daripada kanak-kanak itu - Ika, Haikal, Linda dan Juvina ditemui mati. Seorang lagi mangsa, Sasa, belum ditemui.
#Ab Aziz Abdullah #JPN Kelantan teruskan usaha memujuk ibu bakap 66 orang murid Orang Asli SK Tohoi supaya menghantar anak mereka ke sekolah itu #Tengku Razaleigh Hamzah