JPN digesa siasat jualan Mykad kepada warga asing

Astro Awani
April 27, 2020 14:34 MYT
Zuhairi berkata, tindakan segera mesti dilakukan oleh JPN bagi meneliti rekod yang tidak mengikut SOP dikeluarkan pihaknya dan perlu dibatalkan.
Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melakukan siasatan dalaman bagi memastikan kes berhubung pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara penipuan tidak berleluasa.
Presidennya, Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir berkata, ia susulan desakan dari banyak pihak yang mahu kegiatan penjualan MyKad oleh individu yang terbabit untuk mencari keuntungan dari warga asing dibongkar menerusi satu siasatan menyeluruh.
“JPN perlu mencungkil satu persatu maklumat mengenai penjualan MyKad kepada warga asing yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya dilakukan oleh sesiapa, lebih-lebih lagi oleh pegawai dalam jabatan," dalam kenyataan pada Ahad.
Zuhairi berkata, tindakan segera mesti dilakukan oleh JPN bagi meneliti rekod yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pihaknya dan perlu dibatalkan.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat perkara itu (kes penjualan MyKad kepada warga asing) dan sebarang kemusykilan yang timbul berhubung perkara ini, dihapuskan serta-merta menerusi siasatan menyeluruh,” katanya lagi.
Pada 19 Ogos tahun lalu, 20 individu termasuk pegawai dan kakitangan JPN Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing secara tidak sah.
Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini Menteri Dalam Negeri, dilaporkan menyifatkan penjualan dokumen MyKad dan sijil kelahiran kepada warga asing itu sebagai pengkhianatan besar terhadap negara.
Bagaimanapun kata Muhyiddin, JPN perlu mengkaji semula serta menambah baik prosedur pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan bagi memastikan tiada ruang penyelewengan serta salah guna kuasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
#kad pengenalan #keselamatan #menteri #Muhyiddin Yassin #mykad #operasi #Perdana Menteri #polis #siasatan #sijil kelahiran #SOP #warga asing
;