JPM sedia kemudahan penginapan untuk petugas barisan hadapan
Bernama
April 1, 2020 13:23 MYT
April 1, 2020 13:23 MYT
Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) menyediakan kemudahan penginapan dan premis kerajaan untuk diguna pakai oleh para petugas barisan hadapan.
JPM berkata sehingga semalam, BPH telah menyediakan dua Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) dan empat unit Rumah Transit (RT) sebagai kemudahan penginapan petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ia melibatkan empat unit apartmen di RT Wilayah Persekutuan Putrajaya, sembilan unit bilik deluxe di RPP Cameron Highlands dan tiga unit bilik deluxe di RPP Pulau Pinang, katanya.
"Ia sebagai tanda sokongan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dalam usaha kerajaan menangani dan mencegah penularan wabak pandemik Covid-19," kata JPM dalam satu kenyataan hari ini.
JPM, dalam pada itu, berkata ruang kafeteria dan premis di Bangunan Guna Sama (BGS) turut disediakan untuk kegunaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai tempat pengumpulan makanan untuk diagihkan kepada orang awam.
BGS terlibat ialah Bangunan Persekutuan Temerloh dan Bangunan Persekutuan Maran di Pahang; Bangunan Persekutuan Kuala Krai, Kelantan; Wisma Persekutuan Perai Utara, Pulau Pinang dan Wisma Persekutuan Klang, Selangor.- BERNAMA
#Bahagian Pengurusan Hartanah
#barisan hadapan
#BPH
#Cameron Highlands
#JPM
#kemudahan
#keselamatan
#kesihatan
#Penginapan
#Perdana Menteri
#Putrajaya