JPM Hal Ehwal Agama sedia bantu belia berisiko - Zulkifli
Fauzi Suhaimi
Julai 16, 2020 15:14 MYT
Julai 16, 2020 15:14 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersedia untuk menzahirkan kerjasama dalam usaha membentuk ekosistem masyarakat yang harmoni khusus untuk golongan belia berisiko.
Beliau berkata, bentuk kerjasama itu termasuk menyediakan ruang dan peluang pekerjaan bagi kelompok transgender, bekas banduan dan pesalah juvana.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian termasuk menyediakan peluang kedua buat golongan berkenaan.
"Saya amat gembira menerima kunjungan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman dan dalam pertemuan itu, beberapa isu berkaitan belia khususnya belia berisiko seperti kelompok transgender, bekas banduan, pesalah juvana dan lain-lain sempat dibincangkan.
"Insya-Allah, JPM (Hal Ehwal Agama) sedia bekerjasama dalam membentuk ekosistem masyarakat yang harmoni, peluang pekerjaan dan sebagainya yang bersesuaian.
"Ini kerana, belia berisiko sewajarnya diberi peluang kedua dalam hidup mereka," katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya di sini pada Khamis.
Terdahulu, Zulkifli menerima kunjungan Syed Saddiq bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan perhatian kerajaan terhadap belia berisiko.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau juga meminta nasihat dan pandangan daripada Syed Saddiq selaku selaku anak muda yang jauh lebih berpengalaman.