JPJeBid Perak buka bidaan nombor plat ALL Khamis ini

Sinar Harian
September 17, 2019 21:15 MYT
Severinus menunjukkan siri pendaftaran ALL 1 yang dibuka untuk bidaan bermula Khamis ini. - Foto Sinar Harian
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak memperkenalkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) bagi siri baru negeri ini iaitu ALL.
Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah berkata, proses bidaan dalam talian itu pertama kali diperkenalkan di negeri ini dan dibuka selama lima hari bermula Khamis ini pada jam 12 tengah malam hingga 23 September depan jam 11.59 malam.
"Keputusan akan diumumkan dalam tempoh 24 jam iaitu pada 24 September ini.
"Orang awam atau syarikat hanya perlu mempunyai rekod dalam Sistem MySikap atau boleh membuat pendaftaran di mana-mana Pejabat JPJ negeri atau cawangan kecuali di UTC (Pusat Transformasi Bandar)," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, bagi nombor pendaftaran ALL ini JPJ menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1 juta dengan jangkaan lima siri bidaan tertinggi iaitu ALL 1, ALL 4, ALL 8, ALL 8888, ALL 9999.
Menurutnya, bagi nombor bernilai utama harga minimum untuk bidaan adalah RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular RM800 dan nombor biasa (RM300) dengan setiap kenaikan bidaan minimum pada kadar 5 peratus.
"Bidaan siri paling tinggi di Perak setakat ini adalah AKU dengan hasil kutipan RM3.1 juta diikuti ALA RM1.6 juta dan ALE RM1.1 juta.
"Sebelum ini, AKU 1 berjaya mencapai bidaan lebih RM207,000, dan kita harap kali ini, ALL 1 mampu mencapai tahap itu atau sekurang-kurangnya memberikan nilai bidaan RM150,000," katanya.
Severinus berkata, pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 bagi setiap nombor yang dibida.
"Bagaimanapun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan sementara bagi perniagaan/syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ, Mohd Hafiz Shamsani Othman berkata, hasil kutipan yang diperolehi melalui perlaksanaan JPJeBid sejak diperkenalkan April lepas adalah lebih RM21.2 juta melibatkan 17 siri bidaan di lapan negeri.
Katanya, kutipan tertinggi adalah siri FC di Putrajaya yang mencatat RM3.1 juta bagi 2,481 bidaan dan VDV (Kuala Lumpur) sebanyak RM1.6 juta.
"Selepas Perak, sistem JPJeBid yang menawarkan ketelusan dan perkhidmatan lebih cepat kepada orang ramai ini akan diperluas ke negeri-negeri lain antaranya Sarawak, Terengganu, Melaka, Selangor dan Perlis," katanya.
#bidaan #bidaan dalam talian #JPJ Perak #JPJeBid #kutipan #Mohd Hafiz Shamsani Othman #nombor pendaftaran #pendaftaran kenderaan #Severinus Tukah #siri ALL
;