JPJ WPKL mudahkan urusan petugas barisan hadapan, advokasi aplikasi MyJPJ
Bernama
Februari 16, 2023 15:14 MYT
Februari 16, 2023 15:14 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) akan mengadakan program outreach bersama petugas barisan hadapan bagi advokasi aplikasi MyJPJ dan tawaran perkhidmatan lain.
Pegawai Perhubungan Awam JPJ WPKL Siti Maryam Anuar berkata hari ini pihaknya memulakan usaha tersebut di Wisma Bernama, di sini kerana memahami kekangan yang dihadapi petugas media terutamanya dari segi masa dan jadual kerja yang padat.
"Selepas ini kita akan ke pejabat lain termasuk hospital dan universiti. Sekiranya ada syarikat swasta yang mahukan perkhidmatan sama, mereka boleh berhubung terus dengan Unit Keselamatan Jalan Raya JPJ WPKL," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, mengulangi respons oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai kegusaran orang awam, Siti Maryam berkata untuk fasa pertama penggunaan aplikasi MyJPJ bukanlah sesuatu yang wajib.
"Orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar untuk menggunakan aplikasi MyJPJ masih boleh mendapatkan lesen memandu dan cukai kenderaan fizikal mereka. Hingga hujung tahun ini, kita gunakan kaedah hibrid, selepas itu kita tunggu pengumuman lanjut daripada Menteri," katanya.
Program Outreach JPJ WPKL di Wisma Bernama hari ini turut menawarkan perkhidmatan kaunter JPJ Mobile, pendaftaran ID awam mySIKAP, advokasi keselamatan jalan raya dan pemeriksaan motosikal bagi lesen kenderaan motor yang tamat tempoh melebihi tiga tahun.
-- BERNAMA