JPJ tumpu penguatkuasaan tujuh kesalahan pada operasi Tahun Baharu Cina
Bernama
Januari 19, 2017 07:08 MYT
Januari 19, 2017 07:08 MYT
Tujuh kesalahan utama pemandu menjadi tumpuan sepanjang Operasi Bersepadu Tahun Baharu Cina yang bermula Sabtu ini hingga 5 Feb depan, kata Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Seri Nadzri Siron.
Tujuh kesalahan itu terutama di kawasan kerap kemalangan melibatkan memandu di lorong kecemasan; memandu di lorong kanan secara berterusan bagi kenderaan berat; menggunakan telefon bimbit ketika memandu; tidak memakai tali pinggang keledar; gagal mematuhi lampu isyarat; memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had laju, katanya.
"Mereka yang melakukan kesalahan tersebut akan terus disaman dan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan," katanya semasa melancarkan operasi itu di pejabatnya di sini pada Khamis, sambil menegaskan bahawa pemandu yang bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.
Beliau berkata kecuali bagi kesalahan memandu di lorong kecemasan, pemandu yang melakukan enam jenis kesalahan lain sebelum ini hanya dikenakan kompaun RM300 dan peraturan itu dilihat tidak banyak mendidik pengguna mematuhi peraturan atau undang-undang yang dilaksanakan.
"Sebelum ini ada kalangan pemandu beranggapan kompaun RM300 itu adalah kecil dan boleh dibayar sedangkan penetapan jenis kesalahan dibuat selepas mengambil kira perlakuan yang boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan," katanya.
Nadzri berkata tumpuan pemantauan bagi kesalahan itu akan dilakukan di 102 kawasan kerap kemalangan di jalan persekutuan, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).
Beliau berkata usaha mengurangkan kadar kemalangan sepanjang tempoh operasi juga diperhebatkan dengan meletakkan tujuh kamera keselamatan mudah alih atau 'safety camera' di tujuh lokasi sering berlaku kemalangan di Lebuhraya PLUS seperti di laluan Pagoh Utara dan Selatan, Kampar dan Kuala Muda, keduanya-duanya menghala Selatan.
Lokasi lain ialah di LPT 2 arah Selatan dan Timur dan KM17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan, katanya.
Nadzri berkata bersempena operasi itu, pihaknya turut menguatkuasakan larangan kenderaan berat di lebuh raya pada 26, 27, 31 Jan dan 1 Feb kecuali lori yang membawa bahan bakar serta bahan makanan.
Bagi kenderaan pengangkutan awam, pemeriksaan teknikal bagi bas ekspres secara menyeluruh telah dilaksanakan di 77 buah depoh bas seluruh negara serta di 28 terminal bas utama bermula Isnin lepas bagi memastikan bas berada dalam kondisi terbaik sebelum memberi perkhidmatan, katanya.
Beliau berkata dalam memastikan sasaran mengurangkan lima peratus kadar kemalangan maut membabitkan kenderaan pengangkutan, motosikal dan kenderaan persendirian, jumlah anggota penguat kuasa telah ditambah kepada 2,000 orang berbanding 1,500 pada operasi sama tahun lepas. -- Bernama