JPJ tingkat penguatkuasaan di Terowong Menora, Gua Tempurung
Bernama
Jun 2, 2019 06:40 MYT
Jun 2, 2019 06:40 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak meningkatkan penguatkuasaan di sekitar Terowong Menora dan Gua Tempurung di sini yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarah JPJ Perak Severinus Tukah berkata 431 anggotanya termasuk Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) digerakkan bagi memantau perjalanan trafik di sepanjang 224 kilometer (km) di Lebuh Raya Utara Selatan dan Jalan Persekutuan selama 23 hari bermula 22 Mei lepas.
"Kita menempatkan anggota secara statik di Terowong Menora dan Gua Tempurung bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya selain melakukan rondaan dari Slim River hingga Alor Pongsu dan jalan-jalan kerap berlakunya kemalangan.
"Anggota terlibat turut melakukan rondaan di Jalan Persekutuan sejauh 1,516 km dan Jalan Negeri sejauh 25,005 km," katanya pada sidang media Op Khas Motosikal di sini Ahad malam.
Severinus berkata anggota JPJ juga melakukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres bagi mengesan pemandu yang gagal mematuhi peraturan.
Menurut Severinus dua pemandu bas ditahan kerana disyaki positif dadah dalam operasi yang dijalankan di Terminal Bas Meru Raya semalam dan Terminal Bas Teluk Intan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 639 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya bagi tempoh 29 Mei sehingga Sabtu.
"Sebanyak 627 notis saman turut dikeluarkan pada operasi khas motosikal daripada 1,420 motosikal yang diperiksa atas pelbagai kesalahan semalam," katanya.
-- BERNAMA
#Aidilfitri
#Alor Pongsu
#Gua Tempurung
#JPJ
#Op Khas Motosikal
#penyamaran sebagai penumpang bas ekspres
#Slim River
#Terowong Menora
#tingkat penguatkuasaan