JPJ tingkat operasi menjelang Aidilfitri

Bernama
April 19, 2023 17:00 MYT
JPJ di setiap negeri mula melaksanakan pelbagai inisiatif dan operasi dalam usaha memelihara keselamatan pengguna jalan raya. - Gambar Astro AWANI
BUTTERWORTH: Menjelang ketibaan sambutan Aidilfitri dalam beberapa hari sahaja lagi, dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya di merata tempat semakin ketara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di setiap negeri mula melaksanakan pelbagai inisiatif dan operasi dalam usaha memelihara keselamatan pengguna jalan raya.
Di Pulau Pinang, Ops Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, hari ini menyaksikan 11 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata operasi yang melibatkan penunggang motosikal itu telah bermula hari ini dan akan dilaksanakan sehingga 27 April nanti, dan antara mereka adalah empat warga asing yang menunggang tanpa lesen.
Beliau berkata antara kesalahan yang banyak dikesan dalam operasi itu ialah memandu laju, menggunakan telefon bimbit ketika membawa motosikal, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat merah, tidak memakai topi keledar dan lain-lain lagi.
Selain itu menurutnya JPJ telah mengenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) dan akan meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan.
Sementara itu di Nibong Tebal, polis menyita 18 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di kawasan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat dekat sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata pihaknya menjalankan operasi itu bermula 11 malam tadi hasil risikan dan maklumat awam terdapat kegiatan mat rempit di kawasan berkenaan.
"Hasil pemantauan mendapati ada beberapa remaja menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya di kawasan itu, malah mereka juga tidak memakai topi kaledar, motosikal itu disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Semua penunggang motosikal itu yang berusia 13 hingga 22 tahun dibawa balik ke balai polis untuk dokumentasi dan polis turut mengeluarkan saman kepada ibu bapa remaja yang menunggang motosikal tanpa lesen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya dalam operasi itu 64 saman turut dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.
Di Kota Bharu, pemantauan oleh JPJ Kelantan menerusi penggunaan dron dalam Ops Hari Raya sejak Ahad lepas mendapati masih ramai pengguna jalan raya gagal mematuhi peraturan peraturan lalu lintas, terutama yang melibatkan kesalahan memotong barisan.
Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata susulan itu 99 notis telah dikeluarkan dalam tempoh berkenaan dalam operasi berkenaan setakat hari ini.
"Operasi dilaksanakan di sekitar Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas. Selain penggunaan dron operasi turut dibantu Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) mengikut kesalahan di bawah Kaedah 5, Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu memotong di sebelah kiri jalan.
"Penggunaan dron amat membantu mengesan kesalahan pemandu yang masih degil dan suka melakukan kesalahan yang sekali gus boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas serta risiko berlaku kemalangan khususnya di musim perayaan ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.
"Pada operasi yang sama JPJ Kelantan turut mengeluarkan sebanyak 15 notis kesalahan melanggar lampu merah, lima notis bagi kesalahan teknikal dan dua notis kesalahan tidak memakai topi keledar," katanya.
#Aidilfitri #JPJ #penunggang motosikal #warga asing