JPJ Terengganu sita 15 kenderaan mewah yang diklon

Bernama
Oktober 15, 2014 20:00 MYT
JPJ Terengganu kini sedang giat memburu kenderaan mewah yang diklon dan dipercayai digunakan secara berleluasa di negeri ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu kini sedang giat memburu kenderaan mewah yang diklon dan dipercayai digunakan secara berleluasa di negeri ini.
Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pihaknya menyita 15 kenderaan mewah yang memiliki nombor casis dan nombor pendaftaran palsu.
Katanya kesemua yang dikesan diklon itu adalah kenderaan mewah seperti Mini Cooper, Honda Jazz, Subaru Impreza serta Honda Civic.
"Daripada jumlah yang disita itu empat daripadanya kita serahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan lanjut dan kita dapati kereta asal yang diklonkan ini masih digunakan di Sabah atau Sarawak namun nombor casis atau nombor pendaftaran yang sama itu digunakan pada kenderaan lain.
"Di Terengganu kita dapati kereta jenis Honda antara yang paling banyak diklonkan iaitu enam buah dan jumlah kereta klon yang dikesan di negeri ini agak tinggi," katanya kepada pemberita di sini.
Abdul Rahman berkata lazimnya kereta yang diklonkan itu dijual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Menurutnya kesemua pemilik kenderaan ketika ditahan mendakwa tidak tahu kereta yang dibeli itu adalah kereta klon dan ketika urusan jual beli dilakukan mereka juga diberikan geran.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak tertipu dengan sindiket penipuan seperti itu, memiliki kereta mewah dengan harga yang jauh lebih rendah.
"Kita harap orang ramai berhati-hati dan tidak terjerat dengan penipuan untuk memiliki kereta mewah, sebaliknya membuat pemeriksaan dan rujukan dengan pihak berkuasa," katanya.
Jelasnya pihaknya memandang serius kegiatan seperti itu dan JPJ sedang giat mengesan kereta klon yang masih berleluasa digunakan di jalan raya.
#Abdul Rahman Emang Anyie #Honda Jazz #JPJ Terengganu #kereta klon #Mini Cooper
;