JPJ tempatkan pegawai, anggota risik dalam bas ekspres

Bernama
April 30, 2022 10:42 MYT
Lokman (kiri) membuat pemeriksaan tayar bas ekspress sebelum mengadakan sidang akhbar pemeriksaan depoh bas di Depoh Bas Sani Ekspress, Klang Sentral, 25 Apr 2022. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan pegawai dan anggota risiknya di dalam bas-bas ekspres bagi tempoh musim perayaan Aidilfitri ini untuk memastikan pemandu membawa kenderaan dan penumpang dengan selamat.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota secara rawak di setiap pengangkutan awam darat.
Beliau berkata ini adalah untuk memastikan pemandu bas memandu mengikut arahan jalan raya yang ditetapkan dan tidak memandu secara melulu.
"Pemandu-pemandu bas ekspres ini hanya akan mengetahui pegawai dan anggota risik JPJ (berada di dalam bas) apabila mereka (pemandu) sampai ke destinasi.
"Pegawai dan anggota JPJ yang ditugaskan akan memperkenalkan diri kepada pemandu seterusnya mengeluarkan saman kepada pemandu-pemandu yang melanggar arahan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan bas-bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan, di sini, malam tadi.
BACA: Menjelang Syawal: JPJ teruskan taktik penyamaran dalam bas ekspres
Oleh yang demikian, Lokman menasihatkan kepada pemandu-pemandu bas ekspres supaya mematuhi arahan jalan raya dan mengelakkan daripada diperiksa seterusnya ditahan.
Mengulas mengenai pemeriksaan bas ekspres itu, Lokman berkata ia adalah untuk memberi fokus kepada aspek teknikal kenderaan seperti penggunaan tayar mengikut standard piawaian ditetapkan serta pemeriksaan sistem brek, lampu dan reflector yang perlu berfungsi dengan baik.
"Dalam tempoh pemeriksaan berkenaan, sebanyak 217 bas diperiksa dan 11 daripadanya diambil tindakan notis larangan penggunaan bas.
"Aktiviti penguatkuasaan ke atas bas ekspres ini bertujuan memastikan bas ekspres berada dalam keadaan road worthiness iaitu selamat beroperasi," katanya.
Selain itu, Lokman mengingatkan kepada pengguna jalan raya agar tidak melakukan lima kesalahan iaitu tidak mematuhi lampu isyarat, tidak mematuhi had laju, mengguna telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan, yang merupakan kesalahan tidak dikompaun serta dikenakan tindakan mahkamah.
-- BERNAMA
#Lokman Jamaan #JPJ #risik #bas ekspres
;