JPJ tambah anggota lakukan operasi penyamaran
Astro Awani
Ogos 27, 2013 08:07 MYT
Ogos 27, 2013 08:07 MYT
Bilangan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melakukan operasi penyamaran akan ditambah pada musim perayaan akan datang.
Ketua pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad memaklumkan, pendekatan tersebut yang dimulakan sejak tahun lepas berjaya mengurangkan kadar kemalangan.
Ismail berkata pendekatan itu dilakukan selepas kadar kemalangan menunjukkan penurunan daripada 17,937 kes tahun lepas kepada 17,831 kes tahun ini.
Bagaimanapun, berlaku peningkatan kematian ekoran kemalangan daripada 243 kes tahun lepas dan 292 kes tahun ini.
"Bagi 2014 nanti, sempena dengan musim perayaan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina tahun hadapan, kita akan ambil pendekatan baru. Yang pertama sekali kita akan tempatkan anggota kita untuk ops akan tidak kira kawasan sama ada kawasan kemalangan atau pun tidak kerana ia bergantung, tetapi untuk akan datang setiap 50 jam kita akan letakkan aggota supaya kekerapan untuk bertemu anggota kita lebih rapat,” katanya.
Pada masa sama JPJ mendapat kerjasama ahli Skuad Muda 1 JPJ bagi menjadi duta keselamatan jalan raya kepada pengguna motosikal memandangkan golongan itu merupakan penyumbang terbesar kemalangan maut.
Tambahnya, JPJ juga akan menempatkan anggotanya secara statik di setiap 50 km perjalanan di laluan-laluan utama balik kampung khususnya di jalan persekutuan dan negeri.
Bagi operasi penyamaran sebagai penumpang bas, anggotanya menaiki 454 bas dan 56 pemandu diambil tindakan membabitkan 74 kesalahan di bawah tujuh kesalahan utama.
Kesalahan utama itu termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi arahan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan.
Sementara itu, jumlah saman yang dikeluarkan JPJ dalam ops tahun ini meningkat kepada 18,284 berbanding 10,128 tahun lepas.