JPJ tahan tiga pemandu lori positif dadah di Jitra
Bernama
Oktober 30, 2024 10:45 MYT
Oktober 30, 2024 10:45 MYT
JITRA: Tiga pemandu lori ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan yang dijalankan pada 1 Okt hingga malam tadi (29 Okt), di sini.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata kesemua yang ditahan ialah lelaki warga tempatan berumur 20 hingga 40-an, selepas saringan urin dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati mereka positif bahan terlarang itu.
"Seorang pemandu lori berusia 30-an ditahan semalam di Tol Hutan Kampung dan dua lagi berusia 27 dan 49 tahun di Plaza Tol Jitra arah Selatan. Apabila ditanya kepada pemandu, alasan yang diberi adalah mereka memerlukan tenaga lebih untuk perjalanan jauh.
"Namun bagi kita, itu semua adalah alasan semata-mata. Kenapa orang lain boleh memandu tanpa dadah? Kita akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Plaza Tol Hutan Kampung di sini, malam tadi.
Beliau berkata kesemua yang ditahan dikenakan tindakan lanjut di bawah Sekyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Dalam pada itu, Stien berkata sepanjang operasi selama sebulan itu, sebanyak 48,250 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu 2,743 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata sebanyak 6,824 notis dikeluarkan atas kegagalan mematuhi pelbagai peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya termasuk lima kenderaan disita.
Katanya lagi, kenderaan yang disita termasuklah kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan membawa lebih muatan.
"Bagi kenderaan perdagangan yang membawa muatan lebih 75 peratus boleh disita dan dilucut hak di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya.
Beliau berkata JPJ memandang serius kesalahan yang dilakukan mana-mana pemilik kenderaan perdagangan yang masih ingkar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Menurutnya, orang ramai boleh membuat sebarang aduan mengenai kenderaan perdagangan menerusi aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my.
-- BERNAMA