JPJ tahan enam warga asing memandu tanpa lesen

Bernama
Januari 6, 2023 21:04 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menahan dua warga Bangladesh dan empat warga Rohingya yang dikesan memandu tanpa lesen sah dalam operasi di sekitar Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin). - Foto Facebook/JPJ Melaka
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menahan dua warga Bangladesh dan empat warga Rohingya yang dikesan memandu tanpa lesen sah dalam operasi di sekitar Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) di sini hari ini.
Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff dalam kenyataan hari ini berkata kesemua mereka ditahan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA), yang turut menyita satu kereta dan empat motosikal.
"Lima kenderaan yang disita dimiliki warga tempatan dengan berbeza pemilik, manakala sebuah kenderaan milik seorang warga Bangladesh yang disaman atas kesalahan tiada lesen memandu tidak disita dan dibawa pulang oleh rakannya yang mempunyai lesen.
"Kenderaan yang disita akan diperiksa bagi pengesahan identiti sebelum dibuat pelepasan dan saman perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum kenderaan boleh dituntut oleh pemilik," katanya.
Firdaus berkata sebanyak 14 notis saman P(22) iaitu notis arah periksa turut dikeluarkan dalam operasi selama dua jam bermula pukul 10 pagi dan melibatkan tujuh anggota berpakaian preman.
Menurutnya turut dikeluarkan satu notis larangan penggunaan kenderaan dalam tempoh 10 hari PG(1), serta satu notis arah periksa kenderaan Seksyen 61(1) dan lima notis penyitaan kenderaan di bawah Seksyen 64 (1).
"JPJ Melaka memandang serius dan memantau secara dekat berhubung peningkatan pemandu warga asing di jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang.
"Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing memandu tanpa lesen selaras dengan peraturan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya.
-- BERNAMA
#JPJ Melaka #Jabatan Pengangkutan Jalan #warga asing #memandu tanpa lesen
;