JPJ tahan 67 ulat teksi di KLIA, KLIA2

Bernama
September 26, 2016 14:47 MYT
Sejumlah 67 tangkapan dibuat terhadap 'ulat teksi' yang beroperasi secara haram di KLIA dan KLIA2 sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. - Gambar fail
Sebanyak 67 tangkapan dibuat terhadap 'ulat teksi' yang beroperasi secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Nazli Md Taib berkata operasi yang dibuat secara berterusan itu melibatkan kenderaan jenis teksi, persendirian, bas persiaran, Uber serta Grab Car yang menawarkan perkhidmatan membawa penumpang tanpa kuasa sah.
"Pada operasi yang dilakukan Sabtu lalu bermula pada pukul 3 pagi hingga 7 malam, kita juga telah menahan sembilan individu yang mengambil penumpang secara haram," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kesemua mereka kini direman di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan kes akan disebut pada 27 September di Mahkamah Sepang.
Tambahnya daripada sembilan tangkapan yang dibuat pada Sabtu lepas, pihaknya turut menahan seramai dua individu yang pernah dikenakan hukuman atas kesalahan yang sama pada operasi sebelum ini.
Jelas beliau, pihak JPJ memandang serius bagi kesalahan yang berulang dan akan meminta kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman lebih tinggi daripada sebelum ini.
"Untuk kesalahan yang berulang, mahkamah akan mengenakan denda sekitar RM10,000 dan penjara sekurang-kurangnya tiga ke empat bulan.
"Di bawah akta yang sama, mahkamah boleh mengenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun dan kita akan meminta mahkamah mengenakan hukuman yang lebih berat agar kegiatan ini dapat dikekang," katanya.
Jelasnya, sepanjang tempoh sembilan bulan operasi itu dijalankan, pihak JPJ turut menahan masing-masing seorang warganegara Bangladesh dan Pakistan yang menjalankan aktiviti berkenaan di KLIA dan KLIA2.
"Mereka biasanya akan menyasarkan para penumpang dari negara asal mereka yang di tiba di lapangan terbang kerana kelebihan dari segi komunikasi," katanya.
#Akta Pengangkutan Darat #JPJ #KLIA #KLIA2 #ulat teksi
;