JPJ sahkan 32 anggota ditahan disyaki terbabit rasuah

Bernama
Mac 16, 2021 23:30 MYT
JPJ mengesahkan mengenai penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terlibat rasuah dalam Operasi Sukat oleh SPRM semalam. - Foto SPRM
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan mengenai penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terlibat rasuah dalam Operasi Sukat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu adalah hasil kerjasama rapat antara pihaknya dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara.
"Pengurusan tertinggi JPJ berharap agar tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.
"Inisiatif ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri," menurut kenyataan itu.
Justeru, pengurusan tertinggi JPJ merakamkan ucapan penghargaan kepada warga kerja JPJ yang sentiasa istiqomah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.
Media hari ini melaporkan SPRM menahan 44 individu, termasuk 32 pegawai JPJ, seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik disyaki terlibat melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.
Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu kerana disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.
-- BERNAMA
#JPJ #Jabatan Pengangkutan Jalan #SPRM #Operasi Sukat #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;