JPJ rancang tindakan bersepadu tingkat intensiti penguatkuasaan pemeriksaan kenderaan perdagangan
Bernama
Ogos 8, 2022 22:26 MYT
Ogos 8, 2022 22:26 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang tindakan bersepadu melalui pemantauan dan peningkatan intensiti penguatkuasaan 'roadworthiness' atau layak untuk dipandu di jalan raya bagi mengurangkan peningkatan risiko kemalangan terutama melibatkan kenderaan perdagangan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata antara tindakan itu ialah memperketat prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kenderaan dengan kerjasama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menurut Zailani, cadangan itu selaras dengan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan awalan dan berkala di Puspakom mengikut ketetapan peraturan semasa bagi memastikan kenderaan adalah selamat untuk digunakan.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Ops Puspakom di Pusat Pemeriksaan Puspakom Wangsa Maju, di sini hari ini,
Zailani berkata selain itu JPJ bercadang untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap prosedur pemeriksaan kenderaan, antaranya meningkatkan frekuensi pemantauan dan audit operasi Puspakom oleh Pasukan Kejuruteraan Automotif JPJ secara mingguan terutama di cawangan yang menjalankan pemeriksaan kenderaan berat.
"Kami juga akan menyemak semula prosedur pemeriksaan bagi item yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan brek, tayar dan komponen lain yang akan dikenal pasti dalam masa terdekat," katanya.
Mengenai operasi hari ini, beliau berkata operasi julung kali itu menumpukan terhadap penilaian standard dan tahap pematuhan pemeriksaan di Puspakom dan ia akan diperluas di seluruh negara dengan turut melibatkan Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Ini komitmen kita untuk memastikan kenderaan yang melalui proses pemeriksaan di Puspakom dalam keadaan status yang cukup bersedia untuk digunakan tanpa memberi sebarang bentuk ancaman keselamatan dari segi mekanikal dan teknikal yang tidak lengkap," katanya.
Operasi yang turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu memeriksa 256 kenderaan dengan 158 notis dikeluarkan terhadap 140 kenderaan atas pelbagai kesalahan manakala tiga pemandu ditahan kerana positif dadah.
-- BERNAMA
#JPJ
#Jabatan Pengangkutan Jalan
#tindakan bersepadu
#kenderaan perdagangan
#Puspakom
#Akta Pengangkutan Jalan