JPJ perluas MyLesen B2 kepada pelajar IPT, kolej awam dan sekolah

Bernama
November 14, 2024 16:59 MYT
Aedy Fadly Ramli (tengah) bergambar bersama penerima Lesen Kelas B2 pada Majlis Perasmian Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, hari ini. -Bernama
KUALA TERENGGANU: Program MyLesen B2 akan dikembang dan difokuskan kepada golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT), kolej awam dan sekolah yang kurang berkemampuan pada tahun hadapan.

Ringkasan AI
  • Program ini akan diperluas kepada pelajar IPT, kolej awam, dan sekolah yang kurang berkemampuan untuk membantu mereka mendapatkan lesen motosikal. JPJ sedang memperincikan agihan kuota dan mengenal pasti IPT terlibat.
  • JPJ bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan MARA untuk melaksanakan program ini, yang dijangka memberi manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan.
  • Sejak 1 November, JPJ telah mengeluarkan 37,708 saman dan menyita 1,014 motosikal dalam operasi khas untuk mendidik pengguna motosikal tentang undang-undang jalan raya dan keselamatan. Operasi ini akan diteruskan hingga akhir Disember.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata ia selaras dengan hasrat Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk membantu penuntut IPT dan golongan pelajar berusia 16 tahun ke atas mendapatkan lesen motosikal.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya sedang memperincikan beberapa perkara termasuk mengenal pasti IPT terlibat dan agihan kuota mengikut negeri.
"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk kerjasama dan pendekatan baru iaitu MyLesen B2 akan dikembangkan ke institusi ini.
"Ia akan beri manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan. Kita sedang memperincikan bagaimana agihan kuota dan bilangan (penerima) bagi setiap negeri untuk pelaksanaan program ini," katanya selepas program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini hari ini.
Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ telah mengeluarkan 37,708 saman melalui Ops Khas Motosikal bermula 1 Nov lepas di seluruh negara.
Beliau berkata saman tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 136,068 motosikal sepanjang tempoh 13 hari operasi berkenaan.
"Selain notis saman, JPJ juga menyita 1,014 buah motosikal yang didapati tidak memiliki insurans, cukai jalan dan melakukan pengubahsuaian ekstrem.
"Kita akan teruskan operasi ini secara berterusan hingga akhir Disember ini untuk mendidik pengguna motosikal tentang undang-undang jalan raya demi keselamatan mereka serta pengguna jalan raya yang lain," katanya.
-- BERNAMA
#JPJ #MyLesen B2 #IPT #kolej awam dan sekolah
;