JPJ Perak cam tonto, guna teknik jalankan operasi
Nazialita Geynna Maharan
November 5, 2015 17:32 MYT
November 5, 2015 17:32 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak telah mengenal pasti beberapa tonto yang disyaki aktif mengekori kenderaan penguatkuasaan pihaknya di sekitar negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarahnya, Ramli Awang Seberang berkata kebanyakan tonto kebiasaannya dilihat di ruang hadapan bangunan JPJ negeri malah akan berada di sana sepanjang hari.
Menurut beliau, pihaknya ada menggunakan beberapa taktik dalam mengelakkan konco-konco tonto ini mengekori kenderaan penguatkuasa sewaktu operasi bermula.
“Pertama, kami telah merekodkan setiap kenderaan yang pernah dilihat mengekori pihak JPJ, dan kami juga akan mengumpan pihak mereka dengan membawa ke tempat lain sementara satu lagi kenderaan akan pergi ke tempat operasi.
“Selain itu, kami juga akan menggunakan teknik penyamaran dengan menggunakan kenderaan awam lain sewaktu kami hendak melakukan pemeriksaan kesalahan lalu lintas di sekitar negeri,”katanya kepada Astro Awani sewaktu ditemui di ibu pejabat JPJ Perak pada Khamis.
Tambahnya, kebanyakan tonto ini bergerak secara bersendirian dan akan memberi informasi mengenai pergerakan semasa pihak JPJ atau badan penguatkuasa lain khususnya kepada pengusaha –pengusaha lori muatan pasir di sekitar Perak.
Jelasnya, antara kawasan 'hotspot' di sekitar negeri Perak adalah di Simpang Pulai, Malim Nawar, Jelapang, Chemor, Tapah dan Tanjung Tualang.
Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan Negeri, Abdul Aziz Abdul Malek berkata pihaknya boleh mengambil tindakan ke atas tonto ini sekiranya mereka melanggari Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mana-mana kesalahan lalulintas.
Menurut beliau, bagaimanapun sebarang tindakan mutlak seperti menahan atau memberhentikan kenderaan mereka tidak boleh dilaksanakan begitu sahaja.
“Cara kita, adalah kita akan menahan mereka dan memeriksa status pemandu, kenderaan dan mana-mana kesalahan yang boleh membuatkan mereka berhenti mengekori kami.
“Tapi, mereka ini memang tidak akan serik malah ada yang sampai membuat provokasi, membaling batu atau bertindak menumbuk pegawai, bila terjadi perkara ini barulah kita boleh merujuk kepada pihak polis,”katanya lagi.
Abdul Aziz berkata salah satu masalah kepada pendakwaan ini adalah pihak tonto ini akan menafikan status mereka dan pihaknya tidak mempunyai sebarang bukti kukuh untuk membawanya ke muka pengadilan.
Ujarnya, ada juga di antara tonto yang sanggup menunggu berjam lamanya di perkarangan kediaman pegawai penguatkuasa semata-mata untuk mengetahui pergerakan mereka.
“Bukan JPJ atau Polis Diraja Malaysia( PDRM) sahaja yang mereka ekori, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan( KPDNKK) juga menjadi sasaran mereka, pendek kata mana-mana badan penguatkuasaan,”jelasnya.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa satu perundangan khas perlu digubal bagi memastikan tonto-tonto tersebut tidak menghalang operasi dan mengancam keselamatan anggota-anggota penguatkuasaan seluruh negara.