JPJ lanjut bidaan nombor siri pendaftaran FF - Loke
Bernama
Mei 18, 2023 06:30 MYT
Mei 18, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bidaan siri nombor pendaftaran FF menerusi sistem JPJeBid yang dijadual tamat pada Khamis, hingga 10 malam hari ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu diambil selepas mengambil maklum aduan orang ramai tentang sistem JPJeBid yang tidak stabil apabila tempoh untuk pembidaan bagi nombor plat FF akan berakhir disebabkan trafik yang tinggi.
"Untuk berlaku adil, JPJ telah melanjutkan masa pembidaan untuk 24 jam," katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Loke pada masa sama berkata beliau akan berusaha untuk memantapkan sistem digital di bawah JPJ dan agensi lain di bawah kementerian, malah telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Penasihat Digital (JPD) kementerian yang memberi nasihat penambahbaikan.
-- BERNAMA