JPJ kesan penggunaan alat ganti 'recon' pada kenderaan komersial
Adie Sufian Zulkefli
Disember 20, 2023 10:30 MYT
Disember 20, 2023 10:30 MYT
ARAU: Penggunaan alat ganti yang tidak bermutu tinggi atau ‘recon’ pada kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam seperti lori dan bas dilihat menjadi punca ia sering gagal dalam pemeriksaan brek oleh PUSPAKOM.
Malah, dalam tempoh pemeriksaan berkala setiap enam bulan yang wajib dijalani oleh pemilik atau pemandu kenderaan berkenaan turut mendapati ada kenderaan ini gagal sebanyak tiga kali apabila menjalani pemeriksaan di pusat berkenaan.
Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah yang melahirkan kebimbangan terhadap situasi berkenaan yang berlaku di Perlis sepanjang tahun ini di mana 50 buah kenderaan komersial didapati gagal ujian brek di PUSPAKOM negeri itu.
“Berdasarkan data yang kita perolehi, sepanjang tahun ini bermula dari Januari lalu, sebanyak 50 buah kenderaan komersial didapati gagal ujian brek menerusi pemeriksaan PUSPAKOM yang dijalankan dan kita memandang serius terhadap situasi kegagalan brek ini kerana ia boleh menjadi punca kemalangan terutama kemalangan maut di negara ini.
“Kegagalan dalam ujian brek ini menyebabkan kenderaan ini dilarang untuk berada di atas jalan raya sehingga perlu mengulangi ujian brek serta wajib untuk lulus ujian berkenaan dan jika diteliti, kebanyakkan kemalangan yang berlaku membabitkan lori, treler atau bas ini adalah disebabkan kegagalan brek berfungsi dengan baik.
“Kenderaan berat atau kenderaan barangan atau perkhidmatan awam lazimnya seperti bas akan membabitkan orang ramai seperti penumpang yang dibawa manakala kenderaan barangan ini pula, sekiranya melanggar orang lain juga boleh mengakibatkan keadaan yang teruk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan Op Khas Kenderaan Komersial Bersepadu di Kilometer (KM) 26 Jalan Kuala Perlis-Changlun berhampiran gerbang sempadan Perlis-Kedah di Pauh Putra, di sini pada Selasa.
Katanya, kegagalan brek kenderaan ini semasa pemeriksaan PUSPAKOM dijalankan berkait rapat dengan penggunaan alat ganti yang tidak bermutu tinggi sehingga menyebabkan berlakunya pengabaian dari segi keselamatan jalan raya.
“Kita tengok pemilik atau pemandu kenderaan ini banyak menggunakan ‘spare part’ yang tidak bermutu tinggi dan sekiranya had umur kenderaan itu melebihi 10 tahun lagilah kita boleh lihat pelbagai kegagalan dari segi sistem brek berlaku.
“Malah, saya difahamkan ada juga sistem brek yang digunakan ini adalah dari jenis ‘recon’ dan ada yang dibeli secara dalam talian (online) menerusi platform pembelian dalam talian menyebabkan kualitinya kurang bermutu.
“Kita sudah pun menjalankan advokasi keselamatan jalan raya terhadap syarikat kenderaan barangan supaya mereka memahami situas yang berlaku ini dan sepatutnya menerusi pemeriksaan berkala setiap enam bulan ini, kegagalan dalam ujian brek tidak harus berlaku,” katanya.
Fatimah berkata, pihakanya tidak mahu kegagalan ujian brek ini terus berlaku kerana ada pemilik atau pemandu lori, treler dan bas ini mengambil sikap sambil lewa terhadap keselamatan jalan raya menyebabkan mereka berulang kali gagal dalam ujian brek itu.
“Malah, ada yang sehingga tiga kali gagal ujian itu kerana bagi kita di Perlis, 50 kenderaan yang gagal itu adalah satu jumlah yang besar dan tidak seharusnya berlaku.
“Jadi pesanan saya kepada pemilik atau pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam ini agar menggunakan peralatan atau alat ganti yang sesuai dan bermutu,” katanya.
Terdahulu, Fatimah meninjau perjalanan operasi berkenaan yang membabitkan 40 anggota termasuk 10 daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan dalam operasi yang berlangsung selama dua jam itu, sebanyak 150 buah kenderaan komersial dan pemandunya diperiksa.
Daripada jumlah itu, 15 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala tiada sebarang pengguna jalan raya yang diuji positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dilakukan dalam operasi itu.