JPJ keluar saman serta merta kepada pemandu bas langgar undang-undang

Bernama
Jun 29, 2016 13:33 MYT
JPJ juga akan melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspres dan bas ekspres tambahan bagi memastikan tahap keselamatan seperti tayar dan brek berada dalam keadaan baik sebelum mereka membawa penumpang. - Foto BERNAMA
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan saman serta merta kepada pemandu bas yang melakukan kesalahan sepanjang perjalanan ke destinasi tertentu dalam Ops Raya.
Ketua Pengarahnya Datuk Nadzri Siron berkata anggotanya yang menyamar sebagai penumpang bas akan memantau pemandu bas pertama dan kedua yang tidak mematuhi peraturan seperti memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit dan memotong garisan berkembar.
Beliau berkata saman akan dikeluarkan sejurus bas terbabit sampai ke destinasi tertentu, tidak seperti sebelum ini dengan meminta mereka hadir ke pejabat JPJ untuk tindakan lanjut.
Selain itu katanya, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan terhadap bas ekspres dan bas ekspres tambahan bagi memastikan tahap keselamatan seperti tayar dan brek berada dalam keadaan baik sebelum mereka membawa penumpang.
"Setiap bas ada buku log dan kita akan pastikan setiap 300km bas tersebut akan diperiksa bagi memastikan tahap keselamatan terjamin. Setiap bas yang telah melakukan pemeriksaan akan diberikan slip pemeriksaan bagi membuktikan bas tersebut selamat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Penguatkuasa Peringkat Zon Utara di Ibu Pejabat JPJ Kedah, semalam.
Nadzri berkata pengusaha bas ekspres yang belum melakukan pemeriksaan terhadap bas mereka diminta untuk ke pejabat JPJ setiap negeri bagi mendapatkan perkhidmatan itu agar operasi perjalanan bas mereka berjalan dengan lancar.
Disamping itu, beliau berkata JPJ turut melakukan rondaan lebuh raya dalam tempoh 24 jam serta program advokasi dan operasi motosikal sebagai langkah untuk meningkatkan kefahaman pengguna jalan raya mengenai keselamatan.
Sementara itu Nadzri berkata JPJ menerima 141 buah kenderaan penguatkuasa baharu bagi fasa ketiga tahun ini selepas menerima 185 buah bagi fasa kedua tahun lepas dan 150 buah bagi fasa pertama, 2014.
Katanya penerimaan kenderaan baharu daripada pelabagi model bertujuan untuk menggantikan 320 buah kenderaan penguatkuasa yang melebihi lima tahun dan tidak boleh dibaiki dan diselenggara dengan baik.
Dalam perkembangan lain, Nadzri berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk memastikan pengguna kenderaan persendirian dari negara jiran itu tidak melanggar undang-undang di negara ini.
Katanya kenderaan persendirian yang mendapat permit peredaran antarabangsa (ICP) tidak boleh menyalahgunakannya dengan mengubahsuai kenderaan mereka untuk menjadi kenderaan perdagangan yang membawa muatan barangan yang datang dari negara jiran itu.
"Kita akan kenakan kompaun terhadap mereka sebanyak RM300 kerana menyalah guna permit yang dikeluarkan JPJ dan mereka diminta untuk kembali ke negara asal. Kita sentiasa melakukan rondaan dan sekatan jalan raya tidak jauh dari pintu sempadan Bukit Kayu Hitam," katanya.
#bas ekspres #JPJ #Nadzri Siron #Ops Raya #saman
;