JPJ keluar 129 saman, sita 13 motosikal

Bernama
Februari 14, 2024 23:46 MYT
Sebanyak 129 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dan 13 motosikal termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi disita dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang. - Foto Facebook JPJ Pulau Pinang
BUTTERWORTH: Sebanyak 129 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dan 13 motosikal termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi disita dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Operasi bersepadu bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari itu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar negeri.
JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang serta pembonceng motosikal yang tidak mematuhi Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor dan ubah suai motosikal tanpa kebenaran," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan dalam operasi tesebut juga pihak AADK telah mengesan lapan penunggang motosikal positif dadah, manakala JAS pula mengeluarkan 12 notis kerana pelbagai kesalahan.
-- BERNAMA
#JPJ Pulau Pinang #keluar saman #Op Khas Motosikal #Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang
;