JPJ Kelantan sita 196 kenderaan dipandu warga asing tanpa geran milikan

Bernama
Oktober 5, 2023 19:59 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita sejumlah 196 kenderaan yang digunakan warga asing tanpa geran milikan sejak Januari hingga September tahun ini. - Foto FB JPJ Kelantan
BACHOK: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita sejumlah 196 kenderaan yang digunakan warga asing tanpa geran milikan sejak Januari hingga September tahun ini.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata sitaan itu membabitkan pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal, kereta dan lori.
"Kita dapati sebahagian besar kenderaan yang disita itu dipandu etnik Rohinya yang dipercayai meminjam atau menyewanya daripada warga tempatan untuk pelbagai tujuan.
"Ada juga yang membeli kenderaan terbabit menggunakan nama warga tempatan bagi memudahkan urusan pembelian kenderaan dan mengelak dikesan pihak berkuasa, sedangkan ia adalah satu kesalahan dan boleh disenarai hitam di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Percubaan (P) Motosikal (B2) Percuma Menerusi Program My Lesen kepada 210 calon di Akademi Memandu KIST Kandis, Bachok di sini hari ini.
Mohd Misuari berkata sebanyak 900 calon dari seluruh Kelantan dipilih bagi mendapatkan lesen percuma itu dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM270,000.
Beliau berkata setakat semalam, 721 calon sudah lulus ujian memandu dan mendapat lesen P, manakala baki 179 lagi akan menduduki ujian ulangan bulan ini.
"Hampir 99 peratus calon dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam semua proses untuk mendapatkan lesen ini.
"Memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan ini, kita harap kerajaan akan menambah lagi peruntukan bagi program sama tahun hadapan dengan jumlah calon yang lebih ramai," katanya.
Dalam pada itu, mengulas berhubung operasi penguatkuasaan motosikal di kawasan jalan kampung yang tular melalui media sosial baru-baru ini, Mohd Misuari berkata pihaknya mempunyai prosedur operasi standard tertentu dalam semua penguatkuasaan yang dijalankan mengikut akta yang telah ditetapkan.
-- BERNAMA
#JPJ Kelantan #Jabatan Pengangkutan Jalan #sita kenderaan #warga asing
;