JPJ Kelantan kutip RM3.6 juta hasil bidaan nombor pendaftaran DEN
Bernama
Oktober 19, 2022 13:48 MYT
Oktober 19, 2022 13:48 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mencatatkan kutipan RM3.26 juta hasil bidaan siri pendaftaran DEN dalam tempoh lima hari, kata Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah.
Beliau berkata bidaan itu dibuka bermula 13 sehingga 17 Okt lepas dengan menyasarkan jumlah kutipan RM2.6 juta.
"Selepas bidaan menerusi aplikasi JPJeBID ditutup jumlah kutipan melangkaui jangkaan yang disasarkan.
"Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBID seramai 938,751 dengan keseluruhan pembida seramai 4,473," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Misuari berkata DEN 8 mencatatkan bidaan paling tertinggi dengan harga tertinggi RM98,888.
"Bidaan paling banyak adalah DEN 1305 dengan harga bidaan tertinggi RM6,200 melibatkan 20 pembida," katanya.
Beliau berkata mana-mana pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat dikeluarkan JPJ negeri atau cawangan.
"Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum.
"Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan dan disarankan memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi," katanya.
Sementara itu, Mohd Misuari berkata sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID yang diperkenalkan bermula siri DDP sehingga DEM, JPJ Kelantan mencatatkan jumlah kutipan RM40,147,112.
-- BERNAMA