JPJ Kelantan kutip RM1.04 juta bidaan nombor pendaftaran DDP

Vivi Sumanti
September 8, 2019 16:11 MYT
Nombor siri yang mendapat bidaan tertinggi ialah DDP 1 yang bernilai RM152, 999 dengan jumlah pembida seramai empat orang. - Foto Astro AWANI
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip hasil bidaan lebih RM1.04 juta bagi siri nombor pendaftaran DDP melalui pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) selama lima hari bermula 30 Ogos sehingga 3 September.
Timbalan Pengarah JPJ Negeri Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi, berkata, terdapat lima nombor pendaftran yang paling banyak dibida sepanjang lima hari sistem atas talian berkenaan dibuka, iaitu DDP 9, DDP 55 , DDP 88, DDP 27 dan DDP 96.
Beliau berkata, bagaimanapun nombor siri yang mendapat bidaan tertinggi ialah DDP 1 yang bernilai RM152,999 dengan jumlah pembida seramai empat orang.
"Pada tahun ini, sebanyak empat siri nombor pendaftaran sudah dibuka termasuk DDL, DDM serta DDN dengan hasil bidaan keseluruhan bernilai lebih RM4.3 juta.
"Setiap nombor pendaftaran yang berjaya dibida harus didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan," katanya ketika sidang media keputusan tender E-Biding nombor pendaftaran DDP di Blok B, Pejabat JPJ Negeri Kelantan, Panji, di sini, hari ini.
Nik Azhan berkata, rekod tertinggi yang membeli tender dicatatkan melalui sistem JPJeBid adalah seramai 1, 354 pembida bagi siri nombor pendaftaran DDP berbanding hanya 1,047 pembida bagi siri DDM dan DDL.
"Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam iaitu bagi kategori nombor utama bernilai ditawarkan pada harga RM20, 000, nombor menarik (dua digit) RM3, 000, nombor menarik (tiga digit) RM2, 500, manakala bagi nombor menarik (empat digit) RM2, 000.
"Bagi kategori nombor popular pula ianya ditawarkan pada harga RM500 manakala nombor semasa berharga RM300," katanya Sistem JPJeBid dilancarkan bersempena dengan sambutan Hari JPJ ke-73.
Katanya, sebelum itu siri FC (Putrajaya) menjadi perintis bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian yang mana berjaya mengutip hasil bidaan lebih RM3.1 juta dengan 2481 bilangan bidaan.
"JPJ Kelantan turut merekodkan jumlah kutipan nombor siri pendaftaran DDD sebagai yang paling tinggi iaitu bernilai lebih RM 7.3 juta," katanya.
Beliau berkata, orang awam yang berminat untuk mendapatkam nombor pendaftran ini boleh berurusan di pejabat negeri atau cawangan dan disarakan untuk memiliki ID mySIKAP bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan dan membelinya secara atas talian.
#bidaan #JPJ #JPJ Kelantan #JPJeBid #Nik Azhan Ab Hadi #Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan #Timbalan Pengarah JPJ Negeri Kelantan
;