JPJ kekal penggunaan WhatsApp untuk orang ramai buat aduan
Bernama
Jun 26, 2019 04:28 MYT
Jun 26, 2019 04:28 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan masih mengekal penggunaan aplikasi WhatsApp bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kesalahan melanggar peraturan jalan raya di negeri ini.
Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata langkah itu dianggap berkesan dalam menangani pemandu yang melanggar peraturan antara lain memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memotong di lorong kecemasan.
Katanya, pada peringkat permulaan aplikasi WhatsApp JPJ itu dibuka sebelum Aidilfitri lalu dan nampaknya ia memberi respons terbaik daripada pengguna dan berdasarkan laporan, sebanyak 200 kesalahan di seluruh negara yang diterima melalui WhatsApp dikeluarkan saman.
Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya meneruskan kemudahan berkenaan kepada semua pengguna jalan raya bagi mendidik mereka sjupaya prihatin mengenai kesalahan yang dilakukan.
"Talian itu masih dibuka 24 jam dan mereka yang ingin melaporkan kesalahan perlu lengkap dengan gambar dilokasi dan sertakan bersama kad pengenalan pengadu," katanya kepada pemberita selepas Ops Sepadu di Stesen JPJ Mentara, di sini, hari ini.
Orang ramai di seluruh negara yang ingin melaporkan salah laku pengguna jalan raya boleh berbuat demikian di talian 013-4498997.
Mahasan berkata, laporan kesalahan jalan raya itu dapat membantu JPJ dalam menangani masalah pengguna jalan raya yang melanggar peraturan di semua laluan di negeri ini.
Berhubung Ops Sepadu yang membabitkan JPJ, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) itu, beliau berkata, tidak banyak kesalahan yang dikesan dan direkodkan sepanjang dua jam operasi itu berjalan bermula 10 pagi.
Katanya, ini kerana fokus utama operasi terbabit ialah untuk kenderaan berat khususnya treler balak yang muatan berlebihan.
-- BERNAMA