JPJ jangka bayaran untuk dapat lesen kereta dan motosikal turun
Bernama
Januari 24, 2015 15:38 MYT
Januari 24, 2015 15:38 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangka kadar bayaran untuk mendapatkan lesen memandu kereta dan motosikal akan turun berikutan peraturan baharu yang menetapkan pemohon lesen hanya perlu menduduki satu ujian undang-undang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya akan membuat beberapa perubahan dalam sistem komputer sebelum melaksanakan sistem satu ujian undang-undang itu.
"JPJ akan laksanakan secepat mungkin untuk kemudahan pelbagai pihak dan saya rasa harga untuk mengambil lesen memandu kereta dan motosikal selepas ini lebih murah sedikit," katanya kepada pemberita selepas Program Satu komuniti Satu JPJ, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Penaga di sini hari ini.
Program transformasi JPJ dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lancar kepada penduduk di luar bandar itu dirasmikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Semalam, Kementerian Pengangkutan memutuskan individu yang ingin mengambil lesen memandu kereta dan motosikal kini hanya perlu menduduki satu ujian undang-undang.
Sebelum ini, mereka yang ingin mengambil lesen kereta dan motosikal perlu mempelajari modul kereta dan modul motosikal berasingan serta menduduki dua ujian berasingan.