JPJ gantung lesen PSV jika pemandu langgar peraturan
Bernama
Januari 27, 2017 23:30 MYT
Januari 27, 2017 23:30 MYT
Pemandu bas ekspres bakal menghadapi tindakan digantung lesen memandu dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) selama sebulan jika didapati melakukan tiga kesalahan utama sepanjang Op Tahun Baharu Cina tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron, berkata tiga kesalahan tersebut adalah memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju dan memandu di lorong tengah secara berterusan.
Katanya, bagi memastikan keberkesanan dalam mengesan sebarang pelanggaran peraturan, anggota JPJ akan melakukan penyamaran sebagai penumpang bas terhadap 308 buah bas ekspres yang menjalankan perkhidmatan.
"Sekiranya semasa penyamaran didapati pemandu melakukan kesalahan, mereka akan ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan terus dikeluarkan saman.
"Sebelum ini, saman hanya dikeluarkan bila sampai di hujung perjalanan dan ia didapati kurang berkesan," katanya kepada pemberita selepaskan membuat tinjauan udara di R&R Tapah, arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini hari ini.
Op Penguatkuasaan Tahun Baharu Cina 2017 oleh JPJ bermula dari 21 Jan hingga 5 Feb depan dan melibatkan seramai 1,148 anggota.
Selain itu, Nadzri berkata tujuh lokasi titik hitam yang sering berlaku kemalangan telah dipasang kamera keselamatan untuk memastikan pemandu memandu secara berhemah.
Lokasi pemasangan kamera tersebut adalah di Kilometer (KM) 151.4 Lebuhraya PLUS arah utara (Pagoh); KM145.2 PLUS arah selatan (Pagoh) dan KM255.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 arah timur.
Kamera turut dipasang di KM 288.9 LPT 2 arah utara; KM299.9 PLUS arah utara (Kampar) dan KM95 PLUS arah selatan (Kuala Muda) serta KM17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, katanya.
Mengenai operasi tersebut, Nadzri berkata setelah tujuh hari dilaksanakan bermula 21 Jan lepas, sebanyak 40,520 kenderaan telah diperiksa, 13,415 (dikenakan tindakan) dan 16,573 saman dikeluarkan.
Katanya, antara kesalahan dikenal pasti termasuk memandu tanpa lesen kenderaan, tiada perlindungan insurans, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong kenderaan di sebelah kiri dan memotong di garisan berkembar.
Katanya, daripada 3,665 pemandu yang diperiksa, seramai lima pemandu bas didapati positif dadah dan telah diserahkan kepada Agensi Antidadah (AADK) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata sebanyak 1.74 juta kenderaan menggunakan lebuh raya itu semalam, berbanding hanya 1.4 juta pada hari biasa. -- Bernama