JPJ ganti lesen percuma untuk penduduk terlibat banjir di Yan

Bernama
September 6, 2021 03:51 MYT
Gantian dokumen menerusi inisiatif 'touch point' jabatan itu khusus untuk semua mangsa banjir di lokaliti tersebut yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen penting. - Bernama
ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan gantian dokumen penting jabatan itu seperti Lesen Memandu Malaysia (LLM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) secara percuma kepada mangsa banjir di Yan.
Menurut kenyataan yang disiarkan di laman Twitter JPJ, gantian dokumen menerusi inisiatif 'touch point' jabatan itu khusus untuk semua mangsa banjir di lokaliti tersebut yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen penting berkenaan semasa musibah itu.
Katanya, inisiatif berkenaan akan berkuat kuasa mulai hari ini (6 September) sehingga 18 September ini.
"Pemilik dokumen harus membuat laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen dan perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana pejabat kaunter JPJ negeri atau cawangan di Kedah," katanya.
Katanya, JPJ juga akan memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan kepada mangsa banjir sehinga bencana itu terkawal sepenuhnya.
"Bagi menyokong usaha kerajaan dalam mengangani fenomena banjir di kawasan terkesan ini juga, JPJ akan selalu berada dalam bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk tenaga manusia atau dalam mengatur gerak aset JPJ, jika diperlukan.
"Pihak JPJ dan seluruh warga kerja juga mendoakan agar semua mangsa banjir diberi kekuatan dan dipermudahkan dalam segala urusan," katanya.
-- BERNAMA
#JPJ #banjir Yan #lesen #mangsa banjir