JPJ buat pembetulan serta-merta terhadap gelinciran aplikasi MyJPJ

Bernama
Oktober 5, 2024 17:56 MYT
Aedy Fadly (foto) dalam kenyataan hari ini berkata pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 boleh menyemak semula status kelayakan mereka menerusi aplikasi itu. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuat pembetulan dan penambahbaikan serta merta terhadap kegelinciran aplikasi MyJPJ yang sebelum ini mengeluarkan paparan 'bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak'.

Ringkasan AI
  • JPJ telah membetulkan isu aplikasi MyJPJ yang sebelum ini mengeluarkan paparan 'bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak' untuk pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2.
  • Pemegang LMM kelas B1 dan B2 yang terkesan dinasihatkan untuk log keluar dan log masuk semula aplikasi MyJPJ untuk menyemak semula status kelayakan mereka.
  • Program Khas Peralihan LMM kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) tidak mempunyai tempoh tamat tertentu, dan pemegang LMM kelas B1 dan B2 yang layak boleh mendaftar di 139 institut memandu di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 boleh menyemak semula status kelayakan mereka menerusi aplikasi itu.
"Pemegang LMM Kelas B1 dan B2 yang sebelum ini menerima paparan mesej 'bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak' dinasihatkan untuk log keluar dan log masuk semula aplikasi MyJPJ.
"Mereka boleh semak semula status kelayakan di Semakan Kelayakan Program Khas Peralihan Kelas B," katanya.
Semalam, sebuah portal melaporkan rungutan daripada pengguna aplikasi itu yang tidak berpuas hati ketika membuat semakan kelayakan menyertai Program Khas Peralihan LMM kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) dan menerima paparan keputusan 'bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak'.
Mengenai pendaftaran ke program khas itu, Aedy berkata institut memandu yang tersenarai telah menerima pendaftaran yang tinggi daripada pemegang LMM kelas B1 dan B2 yang layak mendaftar.
Justeru, beliau menasihatkan pemegang LMM kelas B1 dan B2 yang layak agar tidak tergesa-gesa dalam urusan pendaftaran kerana program itu tidak mempunyai tempoh tamat tertentu atau had masa.
"Pihak JPJ juga telah memaklumkan kepada semua institut memandu yang terlibat untuk menerima setiap permohonan calon," katanya.
Semalam media melaporkan, 3.33 juta pemegang LMM kelas B1 dan B2 yang layak menyertai Program Khas Peralihan LMM kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) boleh mula mendaftar di 139 institut memandu di seluruh negara.
Senarai institut memandu yang menawarkan program tersebut boleh didapati dengan mengimbas kod QR yang tertera di laman Facebook rasmi JPJ.
-- BERNAMA
#aplikasi MyJPJ #bukan warganegara Malaysia #LMM kelas B1 dan B2 #Aedy Fadly Ramli
;