JPG komited pacu kelestarian bersama iSPOC
Astro Awani
Februari 28, 2025 19:22 MYT
Februari 28, 2025 19:22 MYT
Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) membuka peluang ekonomi dalam pelbagai sektor selain menawarkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil. - Foto Lestari JPG
KOTA TINGGI: Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) akan membuka peluang ekonomi dalam pelbagai sektor selain menawarkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil.
Justeru dengan kewujudan iSPOC, Johor Plantations Group Berhad (JPG) akan terus komited melaksanakan visinya untuk menjadi syarikat minyak sawit bersepadu generasi baharu yang mengutamakan kelestarian, inovasi dan teknologi maju.
Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, kewujudan kompleks ini menandakan penyertaan JPG dalam sektor hiliran melalui pembinaan kilang penapisan minyak dan lelemak khusus, hasil usaha sama dengan Fuji Oil Asia.
"Ia juga menekankan konsep kelestarian dan ekonomi kitaran (circular economy) dengan mengintegrasikan pelbagai aktiviti penghasilan produk berasaskan sawit.
"Keunikan kompleks ini terletak pada penggunaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) daripada sisa sawit, sekali gus membantu mengurangkan jejak karbon (carbon footprint)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) di Ladang Pasir Logok, Sedili, di sini hari ini.
Menurut Mohd Faris lagi, iSPOC juga akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dalam sektor berkaitan contohnya logistik, pemakanan dan teknologi pemakanan.
"Kami menjangkakan iSPOC akan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan bersama syarikat kami untuk komuniti setempat.
"Kami juga komited untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil di kawasan sekitar dengan membantu mereka memperoleh pensijilan seperti Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan juga Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk mereka menikmati bayaran premium untuk hasil tuaian mereka.
"iSPOC dijangkakan beroperasi secara berperingkat bermula suku ketiga 2026 dengan keutamaan memastikan pembangunan iSPOC sejajar prinsip kelestarian dan pertumbuhan strategik manakala iSPOC yang dibangunkan di atas tanah sekitar 70 hektar ini berpotensi untuk menjana pertumbuhan hasil yang signifikan," jelasnya.
#Minyak Sawit Mampan Malaysia
#Tenaga Boleh Diperbaharui
#Johor Plantations Group Berhad JPG
#Fuji Oil Asia