JPBNS kesan satu kes import di Kuching

Nickyson Nyambar
September 17, 2020 09:07 MYT
Kes diklasifikasikan sebagai kes import melibatkan seorang jurutera wanita warga tempatan dari Cheras, Selangor. - Gambar Arkib
Sarawak mencatatkan pertambahan satu kes baharu COVID-19 pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan bagi kes berkenaan di negeri itu meningkat kepada 701 kes.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes itu diklasifikasikan sebagai kes import melibatkan seorang jurutera wanita warga tempatan dari Cheras, Selangor.
Dalam kenyataan berkenaan, mangsa dilaporkan memasuki Sarawak pada 14 September lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dari Kuala Lumpur.
Melalui sampel ujian swab secara rawak yang dijalankan ke atas mangsa, keputusan ujian rT-PCR yang diterima dari makmal pada 16 September 2020 (Rabu) mendapati mangsa positif COVID-19.
Dalam masa sama, mangsa dikatakan berada di Kuching untuk tempoh dua hari bagi urusan rasmi.
Menurut laporan JPBN Sarawak, mangsa berjaya dikesan ketika dalam perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur.
Mangsa kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Dalam kenyataan sama, JPBN Sarawak turut mengesahkan laporan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berkenaan satu kes yang didapati positif COVID-19 pada 15 September melalui ujian saringan yang dijalankan di Klinik Kesihatan Sandakan pada 10 September lalu.
Kes dalam tempoh berkenaan dilaporkan meneruskan perjalanan ke Sarawak melalui pintu masuk di Merapok, Lawas sebelum bermalam di bandar Bintulu pada 11 September 2020.
Mangsa dikatakan tiba di Belaga pada 12 September. Selain itu mangsa dilaporkan turut mempunyai sejarah perjalanan ke Bintulu dan Mukah sebelum kembali semula ke Belaga pada 14 September 2020.
Setelah mendapat makluman, tindakan segera diambil oleh Pejabat Kesihatan Bintulu. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Bintulu.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sedang giat mengesan kontak-kontak rapat bagi kes ini.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #coronavirus #COVID-19 #Hospital Sungai Buloh #Jabatan Kesihatan Negeri Sabah #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri JPBN Sarawak #Pejabat Kesihatan Bintulu #positif COVID-19 #Sarawak #Ujian rT-PCR #ujian swab