JPBN Sarawak wajibkan pekerja lengkap dua dos kepada semua pekerja hujung Ogos
Nuzuluddin Abdul Razak
Ogos 16, 2021 19:44 MYT
Ogos 16, 2021 19:44 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk mewajibkan pengambilan dua dos lengkap vaksinasi COVID-19 kepada para pekerja sebelum perniagaan dibenarkan beroperasi khususnya premis yang tertutup.
Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan tersebut dibuat ekoran peningkatan kes positif COVID-19 varian Delta dan penambahan Kluster Tempat Kerja yang ketara di negeri itu.
Bagaimanapun, buat masa sekarang, keputusan tersebut hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya selepas penghujung Ogos ini.
“JPBN Sarawak mengambil maklum masih ada golongan yang belum lengkap dua dos vaksinasi pada masa ini dan bersetuju agar kelonggaran diberikan kepada perniagaan di Sarawak sepanjang bulan Ogos ini.
"Namun dalam tempoh ini, golongan yang bekerja dan layak masih perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi COVID-19,” katanya dalam kenyataan laporan harian COVID-19 pada Isnin.
Sementara itu bagi golongan yang tidak layak menerima suntikan vaksin COVID-19 atas sebab kesihatan mereka boleh menunjukkan rekod kesihatan yang diperolehi daripada pegawai kesihatan yang sah.
Untuk rekod, setakat 16 Ogos 2021 seramai 1,653,259 juta atau 80.9 peratus rakyat di Sarawak telah menerima vaksinasi lengkap manakala 166,415 masih menunggu dos kedua sepanjang bulan Ogos ini.
Secara keseluruhan, 1,819,674 juta golongan dewasa yang layak dijangka akan menerima dos lengkap menjelang akhir bulan Ogos.
Hari ini Sarawak mencatatkan kes harian positif COVID-19 tertinggi dengan 1,566 kes menjadikan angka kumulatif kes di negeri ini kepada 88,572 kes.
Melalui kategori klinikal, 83.90 peratus kes adalah kategori 1, kemudian 15.96 peratus kategori 2, dan 0.13 peratus adalah kategori 5 yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
#JPBN Sarawak
#Sarawak
#lengkap dua dos
#vaksinasi
#program vaksinasi
#Varian Delta
#Kluster tempat kerja
#kes positif