JPBN Sarawak dalam usaha tingkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19

Syafik Shukri Jalil
Oktober 14, 2020 19:27 MYT
Sarawak sudah merekodkan 755 kes positif COVID-19 termasuk pertambahan tiga kes terbaharu dilaporkan pada Rabu melibatkan daerah Kuching, Miri dan Lawas. FOTO: BERNAMA
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kini dalam usaha meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19 serta keupayaan pasukan pengesanan kontak rapat.
Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, JPBN Sarawak mahu meningkatkan kapasiti ujian saringan daripada 2,000 kepada 3,000 sehari.
“Tiada siapa dapat meramalkan apa yang akan berlaku esok, jadi Sarawak mesti bersiap sedia. Kami kini bersedia untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan.
“Objektif kami adalah untuk melihat keputusan dalam tempoh 24 jam dan kami juga memperkuatkan pasukan pengesanan kontak untuk memastikan perkara ini dapat dilakukan dengan cepat bagi mengenal pasti kontak rapat dan saringan,” katanya.
BACA: Tiga kes positif COVID-19 di Sarawak dilaporkan hari ini
Tambahnya inisiatif ini adalah untuk membantu mengurangkan penularan COVID-19 di negeri itu sekali gus memelihara keselamatan warga Bumi Kenyalang.
Setakat ini Sarawak merekodkan 755 kes positif COVID-19 termasuk pertambahan tiga kes terbaharu dilaporkan pada Rabu melibatkan daerah Kuching, Miri dan Lawas.
Uggah berkata demikian semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.
#COVID-19 #Sarawak #JPBN Sarawak #Douglas Uggah Embas #Kuching #Miri #Lawas #AWANI Sarawak
;