JPAM siap siaga hadapi bencana banjir
Nazialita Geynna Maharan
Disember 2, 2015 20:58 MYT
Disember 2, 2015 20:58 MYT
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah bersiap siaga menggerakkan jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir di seluruh negara kelak.
Ketua Pengarah JPAM, Ogu Salim Omar berkata pihaknya telah mengadakan beberapa siri latihan simulasi bagi mempersiapkan anggotanya dengan latihan mencari, menyelamat dan memindahkan mangsa dalam suasana banjir itu.
"Kita bekerjasama dengan anggota PDRM, RELA, dan beberapa agensi serta jabatan terlibat dan berusaha untuk mengenalpasti sebarang masalah dan kesulitan yang telah berlaku pada banjir tahun lepas, untuk tidak mengulanginya pada tahun ini.
"Selain itu, kita juga akan memastikan kekuatan anggota mencukupi bagi setiap daerah dan setiap negeri, sekiranya tidak cukup bagi sebuah daerah kita akan menggerakkan bantuan dari daerah berdekatan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam ( PISPA) Kolej Komuniti Wilayah Perak 2015 di Kem Desa Rimba, Chenderoh pada petang Rabu.
Menurut beliau, buat masa ini sebanyak 236 bot penyelamat dan sekitar 100 buah pengangkutan darat termasuk lori, ambulans dan pacuan empat roda telah disediakan bagi membantu menghadapi apa sahaja kesulitan serta bencana yang dihadapi masyarakat setempat.
Sementara itu, beliau turut mengulas bahawa seramai 3,000 anggota PISPA yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan tenaga pengajar kolej-kolej komuniti telah ditauliahkan sejak pelaksanaannya pada Mac lepas.
"Kesemua mereka akan dilatih dari segi psikologi, fizikal dan mental dengan teknik persiapan bencana asas termasuklah tanah runtuh, kemalangan, banjir dan banyak lagi.
"Buat masa ini, Perak mencatatkan jumlah PISPA tertinggi di seluruh negara iaitu seramai 420 anggota," katanya.
Bertujuan untuk membantu pihak agensi berkuasa, Ogu berkata JPAM sentiasa bersiap siaga dengan lebih 850,000 sukarelawan terlatih dengan kelengkapan penuh untuk bersama dalam hal pengurusan bencana.
Harapannya, agar program PISPA itu akan terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira lapisan umur atau kaum bagi membantu meringankan beban kesemua agensi di samping melengkapkan mereka dengan asas pertahanan awam.