JPAM? APAM? Timbang nama baharu lebih sesuai - Shahidan

Bernama
Mei 26, 2016 22:35 MYT
Shahidan berkata beberapa nama lain yang dicadangkan akan dibincangkan sebelum keputusan dibuat. -Gambar fail
Kerajaan akan menimbang nama yang lebih sesuai berikutan penjenamaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berbanding nama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) yang dicadangkan sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beberapa nama lain yang dicadangkan akan dibincangkan sebelum keputusan dibuat.
"Macam-macam cadangan yang dibuat, saya akan maklumkan cadangan yang disebutkan dan yang penting nama ini sesuai dengan perubahan baharu yang kita dibawa.
"Antara cadangan yang dikemukakan kepada saya ialah APM dan PERTAMA," katanya ketika menggulung perbahasan RUU Pertahanan Awam (Pindaan) 2016 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, pada sesi perbahasan RUU tersebut, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun (BN-Kota Tinggi) berkata beliau tidak bersetuju dengan nama baharu itu dan meminta kerajaan menggunakan nama lain yang membawa konotasi lebih membina.
"Saya tidak menolak sepenuhnya cadangan nama baharu ini namun bagi saya nama yang lebih signifikan perlu digunakan supaya JPAM lebih dihormati," katanya.
Sementara itu, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pula bersetuju dengan nama APAM kerana ia mudah diingati.
Pindaan RUU tersebut antaranya bagi menyediakan perlindungan hak pekerja untuk mana-mana sukarelawan atau anggota tambahan bagi pasukan itu yang tidak hadir daripada pekerjaan biasa beliau atas sebab menjalankan tugas yang berkaitan dengan pertahanan awam.
Ia memperuntukkan penubuhan Kor Kadet Pertahanan Awam bagi mana-mana kawasan di Malaysia, di mana pelajar sekolah menengah dan yang merupakan seorang pelajar berdaftar bagi mana-mana institusi latihan atau pendidikan boleh memohon untuk menyertai kor kadet.
RUU itu kemudiannya diluluskan tanpa pindaan.
#apam #APM #cadangan nama #JPAM #pertama #RUU Pertahanan Awam #shahidan
;