JPAM aktifkan pusat pengumpulan bantuan mangsa banjir
Bernama
Oktober 29, 2015 07:15 MYT
Oktober 29, 2015 07:15 MYT
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah mengaktifkan ibu pejabat dan pejabat daerahnya bermula Khamis untuk dijadikan pusat pengumpulan bantuan keperluan harian mangsa banjir daripada orang ramai.
Ketua Pengarahnya Datuk Zaitun Ab Samad berkata pusat berkenaan beroperasi selama 24 jam di seluruh negara.
Beliau yang juga Setiausaha Pengurusan Bencana Pusat berkata bekalan makanan serta keperluan asas mangsa banjir telah mula dibawa masuk ke semua pusat pengumpulan bagi memudahkan pengurusan komuniti ketika menghadapi musim tengkujuh.
Katanya persediaan awal itu selaras dengan usaha menambah baik prosedur operasi standard membantu mangsa banjir.
"Pusat pemindahan telah bersiap sedia kerana menurut Jabatan Meteorologi musim tengkujuh bermula pada 24 Okt," katanya.
Zaitun berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Koordinasi Pengurusan Bencana bersama agensi pusat di sini hari ini.
Selain itu, katanya JPAM juga akan mewujudkan satu rangkaian koordinasi yang sistematik dan teratur dengan jabatan lain bagi menghadapi musim tengkujuh.
"Segala perancangan telah disusun rapi di mana setiap jabatan dan agensi berkaitan bekerjasama manakala JPAM bertindak sebagai penyelaras pengurusan bencana," katanya.
Mesyuarat yang diadakan hari ini bertujuan membincangkan kelengkapan logistik dan persediaan awal yang perlu dibuat ketika musim tengkujuh.
Ia dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.