JPA tidak iktiraf program perubatan Universiti Assiut

Media Statement
Julai 3, 2014 16:01 MYT
JPA tidak iktiraf program perubatan Universiti Assiut - Gambar fail
Program perubatan di Universiti Assiut, Mesir tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak menyambung pengajian dalam program perubatan di universiti berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut di universiti berkenaan mungkin berdepan masalah selepas tamat pengajian nanti kerana tiada pengiktirafan JPA.
Selain itu, orang ramai juga dinasihati supaya tidak terpengaruh dengan tawaran atau surat tawaran kemasukan ke univesiti yang dikeluarkan oleh ejen penghantaran pelajar ke universiti di Timur Tengah.
"Hanya universiti sahaja yang boleh mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada pelajar," kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, mulai tahun ini, semua permohonan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara Timur Tengah seperti Jordan, Maghribi dan Mesir dibuat secara atas talian dan mesti melalui kementerian.
"Pelajar yang cuba memohon terus ke IPT negara berkenaan tanpa melalui kementerian akan menghadapi beberapa masalah termasuk fail mereka tidak akan diproses oleh Kementerian Pengajian Tinggi negara terbabit.
"Pelajar juga tidak dibenarkan mengambil peperiksaan oleh IPT berkenaan dan keputusan peperiksaan tidak akan dikeluarkan oleh pihak universiti," ," jelas kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi bilik operasi Bahagian Education Malaysia di talian 03-8870661/6622/6627.
#JPA #Kementerian Pendidikan #perubatan
;