JPA tawar 12 biasiswa Yang di-Pertuan Agong
Astro Awani
Julai 3, 2014 18:19 MYT
Julai 3, 2014 18:19 MYT
Program biasiswa Yang di-Pertuan Agong bagi sesi 2014/2015 menawarkan 12 calon mengikuti pengajian bidang sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam pada peringkat sarjana dan kedoktoran (Ph.D).
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata tawaran biasiswa itu masing-masing membabitkan enam pada peringkat sarjana dan Ph.D.
Permohonan boleh dilakukan atas talian dengan melayari www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my mulai 5 petang Khamis.
Tarikh tutup permohonan dan penyertaan borang permohonan adalah pada 18 Julai ini.
Maklumat lanjut tawaran biasiswa itu boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-88853546/3569/3571 atau mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 3, Block C1, Kompleks C, JPA, Putrajaya, mulai 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Biasiswa yang diperkenalkan pada 2006 khusus kepada calon yang memiliki prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD di dalam atau luar negara.
Calon yang layak dan disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga.
JPA turut menyatakan penerima biasiswa berkenaan terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun.
Pakej biasiswa itu menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding biasiswa Persekutuan.
Misalnya, kadar bulanan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi biasiswa berkenaan di New Zealand bernilai NZ$2,174 (RM5,420) berbanding biasiswa Persekutuan NZ$1,449 (RM3,612) manakala di Australia bernilai AUD$2,070 (RM6,662) berbanding biasiswa Persekutuan bernilai AUD$1,380 (RM4,430).