JPA kemuka cadangan tindakan terhadap penjawat awam enggan divaksinasi kepada MKN

Bernama
September 21, 2021 07:11 MYT
JPA akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada MKN. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
JPA dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.
Kenyataan itu menyebut sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin COVID-19 telah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok kecil yang belum berbuat demikian.
"Perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberi keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan," menurut kenyataan itu.
Menurut JPA, usaha vaksinasi perlu diberi keutamaan untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara.
Pada 4 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepas) Adnan Mat mencadangkan kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus mengenai penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin COVID-19 dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan yang perlu dilakukan kepada golongan itu dalam isu pengambilan vaksin.
Menurut JPA, ia berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya mengambil vaksin.
Katanya secara dasar, penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan mereka perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila diarahkan oleh ketua jabatan.
"Kita hendaklah melindungi diri kita sebelum kita mahu melindungi orang lain. #lindungdiri,lindungsemua!" kata JPA.
-- BERNAMA
#JPA #penjawat awam #Jabatan Perkhidmatan Awam #enggan divaksinasi
;