Joshua Wong dihalang masuk ke Malaysia

Shamil Hizamie
Mei 26, 2015 08:32 MYT
Pegawai imigresen Malaysia menghalang kemasukan Joshua Wong ke Malaysia sejurus pelajar dan aktivis dari Hong Kong itu tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang, pada pagi Selasa.
Pegawai imigresen Malaysia telah menghantar pulang Joshua Wong selepas pelajar dan aktivis dari Hong Kong itu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang, pada pagi Selasa.
Joshua sebelum ini dijadualkan untuk berucap mengenai gerakan pro-demokrasi dan Bantahan Dataran Tiananmen 1989 di beberapa forum seluruh Malaysia.
Aktivis pelajar berusia 18 tahun itu merupakan watak penting dalam protes ‘Umbrella Revolution’ di Hong Kong pada September tahun lalu.
Beliau dilaporkan telah menghantar pesanan suara kepada media di Hong Kong yang menyatakan bahawa dia dilarang memasuki Malaysia sejurus tiba pada pagi tadi.
"Saya telah dijemput oleh masyarakat sivil Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan pandangan saya tentang Umbrella Movement dan insiden 4 Jun. Namun kerajaan Malaysia telah menafikan kemasukan dan meminta saya kembali ke Hong Kong,” ujar Joshua.
Joshua kemudiannya menaiki penerbangan pulang ke Hong Kong dan dijangka tiba pada 4.45 petang.
Siri-siri forum itu dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Remembering Tiananmen Massacre bersama tujuh aktivis dan kumpulan belia tempatan yang lain.
GALERI FOTO : Protes di Hong Kong masih tiada penghujung
GALERI FOTO: Protes pro-demokrasi pelajar Hong Kong
GALERI FOTO: Protes 'Occupy Central' di Hong Kong
GALERI FOTO: Wajah Hong Kong yang tidak lagi dikenali
Sekitar September tahun lepas, Joshua mengetuai kumpulannya bersama pelajar-pelajar universiti mengadakan boikot semalam seminggu.
Pada 26 September 2014, Joshua ditahan selepas dia dan beberapa ketua pelajar lain menyerbu ke dalam perkarangan ibu pejabat kerajaan. Insiden itu mencetuskan permulaan bantahan secara besar-besaran selama 79 hari.
#Hong Kong #Joshua Wong #Occupy protests #Umbrella Revolution