Joseph Pairin Kitingan dicadang sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu
Abdul Hafiz Mustadi
September 28, 2022 14:48 MYT
September 28, 2022 14:48 MYT
KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) mencadangkan nama Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai pengganti kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan penggal dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun berkata, Pairin, 82 yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah merupakan pemimpin tempatan yang mampu mewakili Sabah sebagai Yang Dipertua Negeri.
"Mengikut Artikel I Perlembagaan Negeri Sabah, jawatan tersebut harus diisi oleh seorang tokoh yang layak seperti disyaratkan mengikut Artikel I Perlembagaan Negeri Sabah.
"Antara syarat-syarat lain ialah, TYT mestilah seorang warganegara Malaysia, tidak memegang jawatan yang bergaji dan tidak melibatkan diri dalam perniagaan yang memberi keuntungan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Suman berkata, Cadangan tersebut juga menurut pihak KDCA dibuat dengan mengambil kira Artikel I Perlembagaan Negeri Sabah yang tidak mensyaratkan jenis agama yang dianuti oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah selain memetik Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang meletakkan Sabah sebagai negeri bebas beragama.
Sehubungan itu, beliau berkata, KDCA berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pencalonan tersebut.
Tambahnya, masyarakat KDM telah mengangkat Pairin sebagai pemimpin agung dengan memberi gelaran 'Huguan Siou'.