Jom ulang kaji cara solat sunat Hari Raya Aidiladha...

Astro Awani
Jun 28, 2023 07:00 MYT
Sudah menjadi kelaziman, pada pagi 10 Zulhijjah (hari ini), bersempena dengan hari kebesaran itu, umat Islam juga akan beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha. - Gambar fail BERNAMA
ALHAMDULILLAH, hari ini umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau juga dikenali sebagai hari raya haji atau hari raya korban.
Sudah menjadi kelaziman, pada pagi 10 Zulhijjah (hari ini), bersempena dengan hari kebesaran itu, umat Islam juga akan beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha.
Solat sunat Aidiladha hukumnya sunat Muakkad atau sangat digalakkan untuk ditunaikan.
Untuk makluman, segala rukun, syarat serta sunatnya adalah sama seperti solat biasa, cuma yang berbezanya ialah ada tambahan takbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara setiap takbir.
Waktu mengerjakan solat sunat Aidiladha pula ialah pada hari pertama hari raya haji (hari ini) antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari.
Solat Aidiladha juga sunat disegerakan bagi memberi kelapangan waktu untuk melakukan ibadah korban.
Lafaz niat solat sunat Hari Raya Aidiladha dan tasbih
Berikut adalah lafaz niat solat sunat Aidiadha dan tasbih beserta makna.
Lafaz niat solat sunat aidiladha (untuk makmum)
اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
(Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala)
Lafaz tasbih
سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلآ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar.
Cara Menunaikan Solat Sunat Aidiladha
* Rakaat Pertama
- Mulai dengan lafaz takbiratul ihram, dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat solat Aidilfitri/Aidiladha di dalam hati.
- Membaca doa iftitah.
- Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah al-Quran (disunatkan membaca surah Al-A’laa).
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama.
* Rakaat kedua
- Mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
- Lafaz takbir lima kali diselangselikan dengan bacaan tasbih.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah al-Quran (disunatkan dalam rakaat kedua membaca surah Al-Ghaasyiyah).
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua.
- Memberi salam.
Khutbah Aidiladha
Adalah disunnahkan juga untuk dilaksanakan penyampaian khutbah sebaik selesai mengerjakan solat sunat hari raya.
Dari segi rukunnya, khutbah Hari Raya Aidiladha juga sama dengan khutbah Jumaat.
Bagaimanapun, sunat dimulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
Semoga perkongsian ini akan memberikan manfaat kepada semua. Insya-Allah.
Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua pembaca Astro AWANI.
* Sumber Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
#solat sunat Aidiladha #hari raya aidiladha #sembahyang raya #hari raya haji
;