Jom berpesta di Kuala Lumpur International Book Fair

Zainal Rashid Ahmad
Jun 19, 2020 12:53 MYT
Mohd Khir memahami pelaburan besar yang dilakukan penerbit buku tempatan serta lambakan stok bernilai puluhan juta ringgit yang menantikan pembeli.
BISNES dalam talian bukan subjek baharu di negara ini.
Pada 2018, 53,285 perniagaan dalam talian berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Angka itu tidak termasuk lebih sejuta akaun Facebook dan Instagram yang menjalankan pelbagai bisnes dalam talian berdasarkan konsep jualan langsung, dropship dan "influencer" komersil.
Angka akaun Facebook dan Instagram yang berorientasikan perniagaan meningkat mendadak lagi berikutan trend migrasi digital akibat pandemik Covid-19.
Kita rujuk pada angka sebagai fakta pembuktian.
Kajian iPrice Group melaporkan sehingga Ogos 2017 nilai industri e-dagang di negara ini bernilai RM24.6 bilion. Satu angka yang besar bagi tempoh lapan bulan tahun yang dikaji.
Itu angka perolehan yang relevan memandangkan e-dagang menyumbang 5.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015.
Angka pendapatan dijangka meningkat ke paras 10 peratus pada tahun ini.
Sejauh mana pandemik COVID-19 bakal mengugat pertumbuhan e-dagang, ia sukar diramalkan.
Namun, potensi untuk e-dagang berkembang akibat pandemik COVID-19 sangat ketara.
Ini berikutan alihan bisnes mula memilih platform digital sebagai premis perniagaan.
Ketika syarikat Top 500 Global berdepan pelbagai krisis akibat krisis Covid-19, bilionaire dan pengasas e-dagang Amazon.com, Jeff Bezos memperolehi lonjakan saham bernilai AS$6 bilion secara semalaman.
Apabila rantaian ekonomi fizikal terjejas akibat sindrom "lockdown" hampir di 100 negara akibat tindakan mengawal jangkitan COVID-19, pelabur global beralih arah.
Platform dan instrumen dalam talian menjadi pilihan terbaik dan dilihat kekal agresif menjana keuntungan.
Justeru, kemunculan KLIBF 2020 adalah pilihan terbaik.
KLIBF 2020 disifatkan sebagai alternatif akibat penangguhan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang ditangguhkan April lalu.
Hakikatnya - KLIBF 2020 kini wajar dilihat sebagai perintis jalan terbaik bagi memastikan 2020
ialah tahun penerokaan yang agresif bagi industri perbukuan.
Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khir Ngadiron bertanggungjawab merealisasikan KLIBF dalam talian sebagai "game changer" ketika pasaran jualan fizikal menjunam 90 peratus.
Mohd Khair wajar dilihat sedang melakukan transfomasi bagi memastikan kelangsungan industri buku kekal hidup dan bernafas dengan baik.
Sekali gus, mengekalkan budaya membaca dan jualan buku terus mapan dan disesuaikan dengan ekosistem berasaskan normal baharu.
Mohd Khir sebagai "operator buku" dengan pengalaman 11 tahun di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) - dianggap pemain tulen industri ini.
"Saya memahami pelaburan besar yang dilakukan penerbit buku tempatan serta lambakan stok bernilai puluhan juta ringgit yang menantikan pembeli," katanya.
Justeru, KLIBF 2020 dalam talian satu manifestasi kesungguhan penganjur untuk menyelamatkan industri buku tempatan.
KLIBF 2020 akan bermula pada 25 Jun hingga 8 Julai ini dengan menggunakan platform Shopee sebagai mekanis alihan pembelian.
"Ini masa bagi peminat buku dan pemain industri meneroka pasaran dalam talian dan menjadikannya langkah penerokaan jangka panjang," katanya.
Mohd Khir yakin, berdasarkan status daya beli dalam talian yang berskala besar dalam KDNK negara, industri buku berpotensi untuk ikut berkembang sejajar dengan pertumbuhan berganda yang dicatat pada setiap tiga tahun.
Bagi peminat yang ingin mengikuti KLIBF 2020, sila ikuti Facebook PBAKL.
#Institut Terjemahan dan Buku Malaysia #KLIBF 2020 #PBAKL #Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
;